Najib Razak

KUALA LUMPUR – Saksi pertama dalam kes tuntutan saman sivil dikemukakan SRC International (SRC) terhadap Datuk Seri Najib Razak mendedahkan pihaknya tidak pernah buat sebarang pengesahan sama ada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah wakil kepada bekas perdanamenteri itu.

Menurut bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai, Jho Low sendiri mewakilkan dirinya sebagai penasihat Najib yang ketika itu adalah Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd, selain memegang jawatan menteri kewangan.

Ketika sesi soal balas antara peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Swampillai, saksi itu berkata, Jho Low telah mewakilkan dirinya sebagai sekutu Najib dalam pelaburan-pelaburan dijalankan oleh SRC kepada pengurusan kanan BSI.

Namun Swampillai juga bersetuju tidak ada sesiapa dalam BSI telah membuat semakan andai Jho Low itu sebenar-benarnya penasihat Najib.

Selain itu, saksi juga bersetuju urus niaga oleh SRC yang disalurkan kepada dana fidusiari tidak mungkin terjadi andai  BSI berkenaan membuat semakan mendapati dakwaan Jho Low adalah tidak benar.

Muhammad Shafee juga bertanya adakah menjadi satu kebiasaan untuk menjadi representasi itu kepada mana-mana pihak memerlukan dokumen, saksi mengiyakannya.

Muhammad Shafee: Dana telah diluluskan atas arahan Jho Low dan beliau tidak tunjuk dokumen sebagai wakil Najib?

Kevin: Ya.

Muhammad Shafee: Tapi ini bukan kebiasaan bagi bank-bank lain bukan?

Kevin: Ya

Saksi juga bersetuju amalan ‘jual nama’ sudah menjadi satu kebiasaan terutamanya di negara ini kepada Muhammad Shafee dan Jho Low sudah menjual nama beberapa individu penting termasuklah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Prosiding akan bersambung esok di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

SRC ketika ini sedang menyaman Najib dan bekas pengurusan kanan syarikat pelaburan strategik itu di Mahkamah Tinggi.

SRC di bawah pengurusan baharu memulakan tindakan saman sivil terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan pertama dan kedua pada 2021.

Selain itu, bekas pengarah SRC iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, dinamakan sebagai pihak ketiga.

SRC yang juga anak syarikat 1MDB mendakwa semua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah selain mendakwa Najib menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC memohon deklarasi bahawa semua defendan bertanggungjawab membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast