PUTRAJAYA – Jemaah Menteri akan berhubung Pejabat Speaker susulan kenyataan Ahli Parlimen yang didakwa tidak benar dan dikeluarkan ketika sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat sejak dua minggu lalu.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ia bagi membincangkan isu tersebut dalam usaha memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
Menurut beliau, Jemaah Menteri telah membuat teguran secara tegas mengenai isu dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.
“Siri kenyataan Ahli Parlimen yang tidak betul dan tidak benar, yang boleh dikatakan telah mengelirukan Dewan dan siri permohanan maaf yang dibuat. Teguran tegas dalam Jemaah Menteri telah disampaikan (dalam Mesyuarat Kabinet).
“Ada pertikaian sama ada, adakah mereka faham bahawa apa yang mereka sebut itu tidak benar dan tidak betul dalam siri kejadian baru-baru ini, tidak kira (Ahli Parlimen) Tasek Gelugor (Datuk Wan Saiful Wan Jan), Pengkalan Chepa (Datuk Ahmad Marzuk Shaary) atau Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang),” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi menambah, isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen pada sesi perbahasan tersebut akan dijawab dalam sesi penggulungan yang dijadual bermula Isnin depan.
Sepanjang Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 bermula 26 Februari lalu, antara isu yang menarik perhatian apabila Wan Saiful memohon maaf atas tindakannya yang mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, pada 5 Mac lalu.
Permohonan maaf itu dibuat selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi ruang kepada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu untuk memberikan penjelasan mengenai kenyataan yang dibuatnya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 28 Februari lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sepatutnya membacakan usul menggantung Wan Saiful selama enam bulan kemudiannya bangun dan menerima permohonan maaf secara terbuka. – MalaysiaGazette