Saifuddin Nasution Ismail.

PUTRAJAYA- Kabinet hari ini meluluskan cadangan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selepas ini pihaknya akan melakukan penerangan kepada media selain sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Saifuddin berharap cadangan pindaan itu dapat dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

“Dari segi Parlimen, kita kena ikut giliran sebab banyak pindaan-pindaan kementerian lain juga, jadi kita kena daftar dan tunggu tarikh dari setiausaha (Dewan Rakyat),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pada Disember lalu, Jabatan Peguam Negara dilaporkan sedang merangka draf cadangan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.

Draf tersebut dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.

Sementara itu, Saifuddin memberitahu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum menerima pemakluman daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) tsama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah menghantar permohonan pindaan perlembagaan yang dibuat parti itu baru-baru ini.

“Mungkin mereka (Bersatu) ada hantar cuma saya belum dapat pemakluman lagi (dari RoS),” katanya.

Baru-baru ini Bersatu meluluskan Pindaan Perkara 10 Perlembagaan parti dalam Mesyuarat Agung Khas yang menyatakan keahlian mana-mana wakil rakyatnya akan terlucut serta-merta sekiranya mereka menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti tersebut.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan untuk meneruskan sokongan itu.

Beliau berkata, jika mereka kekal menyokong Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa, yang mana kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast