Adly meninjau pameran selepas melancarkan Karnival Rahmah Parlimen Alor Gajah di Dataran Keris Alor Gajah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dilapor melakukan salah guna kuasa dan kekerasan terhadap seorang pegawainya sudah dikenakan tindakan pengasingan kuasa.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, siasatan terhadap pegawai kanan berkenaan telah dimulakan seperti diumumkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan semalam.

“Memang kita sudah ada pengasingan kuasa dan sebagainya (terhadap pegawai kanan) dan dengan cara itu penyiasatan akan berlaku lebih adil kepada semua pihak tak kira apa pun jawatan mereka.

“Ia supaya kita nak buat penyiasatan itu (tiada halangan jika) masing-masing ada kuasa… kita tak kira di mana kedudukan dalam kementerian kerana bagi kita adalah keadilan dan penyelesaian kepada isu-isu berbangkit,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Karnival Rahmah Parlimen Alor Gajah di Dataran Keris Alor Gajah di sini hari ini.

Adly Zahari

Semalam media melaporkan Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh pegawai kanan berkenaan yang kini bertugas di Sarawak.

Markas TDM dalam kenyataannya berkata, mangsa yang telah membuat laporan polis pada 3 Mac lalu mendakwa ditampar di bahagian kiri muka dan ditendang di bahagian perut oleh pegawai kanan berkenaan.

Perbuatan itu yang berlaku semasa mangsa sedang menjalani latihan peringkat formasi menyebabkannya mengalami kecederaan pada tisu lembut di atas mata dan kecederaan disebabkan serangan fizikal.

Kenyataan Markas TDM berkata, pihaknya akan menubuhkan lembaga siasatan peringkat dalaman untuk mengenal pasti punca kejadian bagi menilai secara profesional dan terperinci berhubung dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Adly berkata, Kementerian Pertahanan (Mindef) memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara terbuka dan telus dalam kes berkenaan.

“Semua pihak terlibat itu (perlu) diberi keadilan setimpal dan memang kita tahu latihan-latihan kita itu agak tegas dan keras tetapi ada hadnya juga

“Antara aspek (siasatan) yang kita akan lakukan adalah kita lihat kepada yang dituduh, keadilan harus diberikan kepada semua pihak dan mungkin yang jadi mangsa itu pun dapat keluar daripada trauma itu sendiri,” katanya.

Tambah Adly, Mindef mempunyai proses dan prosedur operasi standard tersendiri dalam setiap laporan serta aduan diterima berhubung masalah disiplin dan salah guna kuasa oleh mana-mana pihak. – MalaysiaGazette