Anwar Ibrahim

BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi projek menaik taraf perumahan serta surau polis di Pulau Pinang.

Anwar berkata, peruntukan itu bagi meningkatkan keselesaan selain menjaga kebajikan anggota polis.

“Sejumlah RM1 juta diperuntukan untuk projek menaik taraf kuarters di Balai Polis Seberang Jaya manakala RM500,000 lagi bagi membeli peralatan kemudahan surau di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Dalam perkembangan lain, Anwar sekali lagi mengingatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk lebih tangkas menangani jenayah seksual yang kini semakin berleluasa.

“Semalam kita menyambut Hari Wanita dan golongan wanita masih mengeluh tentang jenayah gangguan seksual.

“Ketua Polis Negara (Razarudin) memberi pengakuan akan bertindak tegas tanpa tolak ansur untuk menyelamatkan rakyat dan negara kita ini, jadi saya harap dengan penekanan itu saya tegaskan serta minta kerjasama semua anggota polis supaya lebih tangkas jangan jadikan negara kita ini rosak kerana akhlak yang rendah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast