Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memperkenalkan program penabungan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk murid tahun satu bagi anak-anak anggota lain-lain pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif baharu yang dikenali sebagai Simpanan Pendidikan Madani (SPM) diperkenalkan untuk manfaat anak-anak anggota tentera bermula pada tahun ini.

Katanya, program SPM itu melibatkan sumbangan tabungan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada 9,355 murid tahun satu bagi sesi persekolahan 2024 yang melibatkan jumlah keseluruhan bernilai RM467,750.

“Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan dana sebanyak RM15 juta untuk penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah angkatan tentera.

“Peruntukan yang disalurkan melalui Kementerian Pendidikan itu akan memberi manfaat kepada 29 buah sekolah-sekolah rendah dan menengah termasuk sebuah Maktab Rendah Sains Mara di dalam kem Angkatan Tentera yang ada di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Perdana Sungai Besi di sini pagi tadi.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Darat Datuk Muhammad Hafizuddean Jantan, Panglima Tentera Udara Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Pada program kali ini, seramai 219 pelajar MTD menamatkan tingkatan lima bagi sesi akademik tahun 2023.

Mengulas lebih lanjut, Khalid juga menambah, kedua-dua inisiatif terbabit dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan kerana percaya soal kebajikan serta pendidikan berkualiti adalah perkara yang harus menjadi sebahagian daripada fokus utama Kementerian Pertahanan.

“Anggota kita yang sentiasa sedia dan setia mempertaruhkan nyawa kepada negara tidak seharusnya dibebankan untuk memikirkan sendiri mengenai aspek kebajikan diri dan keluarga mereka.

“Oleh demikian kementerian sangat berharap insiatif tersebut dapat membantu anggota tentera kita menjalankan tugas mereka dengan baik dan melonjakkan ekosistem kebajikan serta pendidikan angkatan tentera,” ujarnya lagi.

Tegas Khalid, Maktab Tentera Diraja bukan sekadar institusi biasa dan mempunyai makna, mandat serta matlamat yang tersendiri.

Jelasnya, penubuhan MTD adalah satu agenda nasional yang penting…di sinilah kita mengesan dan menggilap bakat-bakat terbaik bagi menyertai ketumbukan pertahanan negara serta memberikan sumbangan bermakna kepada negara dalam pelbagai lapangan.

“Sektor pertahanan negara kita sebenarnya memerlukan ramai bakat terbaik dan harus digerakkan serta didukung oleh pelajar terbabit.

“Menyedari hakikat ini, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM21 juta setiap tahun termasuk emolumen pegawai, guru dan kakitangan serta membiayai segala keperluan dan kebajikan sepanjang dua tahun pelajar terbabit berada di MTD dengan perbelanjaan RM27,000 bagi setiap seorang,” kata beliau lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast