KUALA LUMPUR – Kerajaan Sabah tetap dengan pendirian untuk menolak sekeras-kerasnya sebarang tuntutan ke atas Sabah susulan tuntutan terbaru oleh sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka, United Tausug Citizens (UTC).
Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sehubungan itu, sebarang tuntutan luar terhadap negeri Sabah tidak akan diiktiraf oleh kerajaan negeri mahupun rakyat.
Malah katanya, pendirian kukuh kerajaan Persekutuan itu turut mendapat sokongan masyarakat global.
“Dakwaan UTC atau mana-mana kumpulan ke atas Sabah tidak lain hanya satu percubaan remeh semata-mata untuk mengganggu-gugat negeri ini dan ia sama mengancam kedaulatan negara ini,” ujar beliau.
Katanya, tuntutan pihak mendakwa pewaris Kesultanan Sulu yang tidak berfungsi serta tidak berasas itu sebelum ini berakhir dengan pemenjaraan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata, Malaysia menolak semua tuntutan ke atas Sabah termasuk kes terbaharu membabitkan sebuah kumpulan yang menamakan diri sebagai UTC. – MalaysiaGzette