Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Malaysia bertekad untuk menstruktur semula ekononi bagi memastikan negara boleh digerakkan sebagai peneraju rantau Asia.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah itu bagi memastikan rakyat di negara ini dapat menikmati kehidupan yang lebih bermutu selari dengan konsep ekonomi Madani.

“Dalam hal ini, kerajaan beriltizam untuk meneruskan Agenda Pemerkasaan Bumiputera sebagai agenda nasional ke arah mencapai keputusan saksama untuk bumiputera.

“Kerajaan akan melakukan anjakan dalam menambah baik Agenda Pemerkasaan Bumiputera bagi memastikan hala tuju ini adalah lebih bersifat inklusif tanpa meminggirkan sesiapa di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat.

Rafizi menjawab pertanyaan lisan kedua Dewan Rakyat dimana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) ingin tahu apakah kaedah serta pendekatan baharu yang menepati ciri status pembangunan dan sosio-ekonomi tempatan bagi meningkatkan penguasaan ekonomi bumiputera khususnya dalam segmen ekonomi baharu.

Selain itu, Rafizi berkata, kerajaan akan turut memperluaskan peranan syarikat berkaitan Kerajaan dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLC dan GLIC) dalam mendukung agenda bumiputera sebagai agenda nasional.

Malah langkah itu akan memainkan peranan lebih proaktif dalam mempergiat serta menggerakkan Agenda Pemerkasaan Ekonomi bumiputera melalui pelaksanaan dasar serta inisiatif di GLC dan GLIC berkenaan.

“Kerajaan juga sedang meneliti dan menambah baik agenda baharu pemerkasaan bumiputera.

“Sehubungan itu, penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) pada 29 Februari hingga 2 Mac 2024 merupakan platform untuk mendapatkan input dan pandangan bagi menambah baik Agenda Pemerkasaan Bumiputera supaya lebih menyeluruh ke arah mencapai masyarakat yang lebih adil, saksama dan inklusif,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, semua intipati hasil daripada KEB 2024, input daripada sesi libat urus dan microsite KEB 2024 akan dicerakin untuk diterjemahkan ke dalam hala tuju agenda baharu pemerkasaan Bumiputera, kata Rafizi.

“Pelan jangka panjang agenda baharu pemerkasaan bumiputera yang lebih segar dan inklusif tanpa meminggirkan peranan oleh semua etnik di Malaysia ini akan dirangka untuk tempoh 10 tahun yang akan datang dan dijangka diluncurkan pada Jun 2024.

“Ini termasuk kaedah serta pendekatan baharu yang menepati ciri status pembangunan dan sosio-ekonomi tempatan bagi meningkatkan penguasaan ekonomi bumiputera khususnya dalam segmen ekonomi baharu seperti bidang pertumbuhan tinggi dan nilai ditambah tinggi (HGHV),” kata Rafizi lagi. – MalaysiaGazette