Jambatan Gebeng

KUALA LUMPUR – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berjaya mewujudkan Kertas Komersial Islam (ICP) dan Nota Kewangan Jangka Sederhana Islam (IMTN) dengan nilai nominal sehingga RM10.21 bilion (dengan pilihan untuk menerbitkan Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)) (Program Sukuk Murabahah), sekali gus menandakan yang pertama bagi Sukuk Dijamin Kerajaan serta yang pertama dalam industri pengangkutan.

Ini menandakan komitmen MRL untuk memacu pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi serantau, serta merupakan mercu tanda dalam landskap kewangan yang memberikan peluang kepada pelabur untuk pembiayaan sebahagian daripada pembinaan jajaran 665-kilometer Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Kota Bharu ke Port Klang.

Pilihan untuk menerbitkan Sukuk SDG mencerminkan dedikasi MRL dalam memberi impak sosial dan alam sekitar yang positif melalui usaha kewangannya. Komitmen terhadap kemampanan seterusnya dapat membezakan program ini sebagai peneraju dalam inisiatif pelaburan beretika, sejajar dengan usaha MRL dalam menggunakan tenaga hijau untuk rangkaian ECRL yang akan beroperasi pada Januari 2027.

Rangka kerja Sukuk SDG yang telah menerima penilaian impak “Emas” oleh MARC Ratings Berhad ini diwujudkan untuk menetapkan garis panduan bagi MRL
menerbitkan Sukuk SDG untuk projek-projek khas yang dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak menekankan Program Sukuk Murabahah menandakan usaha berterusan untuk menggabungkan kewangan Islam ke dalam projek infrastruktur yang besar.

Inisiatif ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai sebahagian daripada Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan.

“Kami berbangga Sukuk SDG MRL juga secara sinergi mengutamakan amalan yang mementingkan alam sekitar dalam bidang kewangan dan pembangunan infrastruktur serta memenuhi keperluan yang berbeza bagi pihak berkepentingan kerajaan dan swasta serta sektor-sektor lain,” tambahnya.

Darwis berkata, Program Sukuk Murabahah ini merangkumi 3 kemudahan kredit pusingan yang direka dengan mematuhi prinsip kewangan konvensional dan Islam dari pelbagai institusi kewangan tempatan, disokong oleh penyertaan 10 institusi kewangan serta menggabungkan kepakaran dan sumber dari institusi kewangan konvensional dan Islam.

Projek ECRL bernilai RM50.27 bilion dibiayai menerusi gabungan pinjaman mudah oleh Export–Import Bank of China dan terbitan Sukuk oleh institusi kewangan tempatan dijadualkan siap pada Disember 2026 dan dijangka menghubungkan Kota Bharu ke ITT Gombak dalam masa empat jam berbanding tujuh jam dengan pengangkutan jalan raya atau lebih daripada 12 jam semasa musim perayaan. – MalaysiaGazette