KUALA LUMPUR – Menjelang Ramadan esok, orang ramai mengeluh dengan lonjakan harga barang yang disifatkan melampau sehingga cukup membebankan poket mereka.
Kenaikan harga barang pastinya merisaukan mereka, selepas baharu sahaja berhabis dengan persiapan persekolahan anak-anak.
Rata-rata pengunjung yang ditemui MalaysiaGazette di Pasar Chow Kit hari ini mengakui sudah habis usaha untuk berjimat tetapi sukar kerana kebanyakan barang naik harga.
Disebabkan itu, ada dalam kalangan mereka berkata, lebih baik menyertai jamuan berbuka puasa di surau atau masjid untuk berjimat dalam berbelanja.
Penjawat awam, Sinata Fauzi, 38, yang mempunyai empat orang anak mengakui terkesan dengan perbelanjaan harianyang hampir mencecah RM4,000 kerana serentak dengan persiapan sekolah.
“Kalau dulu harga bawang merah RM3 , sekarang lebih RM5 sekilo. Kita sebagai suri rumah kalau beli barang dulu bawa RM100 cukup, kalau sekarang kena RM200 ditambah dengan sekolah dah buka dan raya tidak lama lagi.
“Kita memang kena pandai urus berbelanja. Kalau saya sendiri akan beli secara pukal atau borong, kemudian kita asingkan untuk makan harian dan mingguan. Walaupun sedikit tapi kena bijak menabung.
“Dengan ekonomi sekarang ini, kerajaan perlu beri lebih banyak insentif atau bonus untuk rakyat sebab kerja sekarang memang susah tidak seperti dahulu,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Pandangan sama turut disuarakan, ibu kepada tiga anak, Amirah Rahmat, 35, yang merasakan harga barang basah meningkat mendadak, tidak setanding dengan kenaikan gaji semasa.
“Saya lihat harga daging pun naik juga, nampak macam terlampau tinggi harganya. Bawang pun naik juga, harga sekampit lebih RM5 hingga RM9, untuk beras wangi dulu RM40, sekarang lebih RM50.
“Rasanya dah terlampau jimat sangat sekarang ini tapi masih tidak cukup. Situasi tidak sama seperti dulu.
“Sekarang ini kita kena cut kemahuan kita. Kalau nak jimat boleh berbuka dekat masjid, sebab sana selalu ada buat jamuan berbuka puasa. Bagi saya itu alternatif bagi kalau sesiapa tidak mampu,” katanya.
Bagaimanapun, Amirah berharap kerajaan dapat melihat semula penetapan harga semasa barangan keperluan dengan tangga gaji rakyat Malaysia terutama untuk golongan B40 serta M40 yang terkesan.
Sementara itu, Mohd Shahrizal Pauzi, 30, berkata, kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8.0 peratus telah memberi impak terhadap kos perbelanjaan keluarganya kerana terdapat beberapa barangan keperluan berlaku peningkatan mendadak.
“Sejak kerajaan perkenalkan SST sebanyak lapan peratus, saya rasa harga barangan agak membebankan untuk saya dan semua rakyat terutama persiapan sekolah serta menyambut ramadhan ini.
“Saya nampak harga ayam ada perbezaan dengan kat sini dan pasaraya. Beza kat sini kebanyakkan RM9.50 sekilo kalau pasar raya ada yang bawah RM9. Bawang pun ada juga beza, kita kena pandai membelilah.
“Kita sebagai rakyat, sememangnya nak yang terbaiklah daripada kerajaan. Sebolehnya SST itu rendahkan, supaya semua mampu miliki dan berbelanja seperti biasa,” jelasnya.
Bagi pekerja swasta, Nor Azmira Zaini, 28, turut terbeban dengan kos sara hidup yang kian meningkat saban hari, ditambah pula perlu membayar pengasuh, persiapan sekolah serta untuk menyambut ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
“Perbelanjaan saya naik 20 peratus dengan meningkatnya keperluan sekolah, dan membeli barangan harian dan persediaan hari raya.
“Sebelum ini kita beli ayam dalam RM8 sekilo, sekarang RM9 hingga RM9.50, ada yang RM10, cuma kalau kat sini murah lagi kalau nak dibandingkan dengan pasaraya dan kedai runcit. Bawagng pun naik dalam lima peratus.
“Dulu kalau penat sangat selalu makan kat luar dan mesti cecah lebih RM30. Kini nak jimat kita kena masak dekat rumah, slealu beli barang basahlah dua minggu sekali lebih kurang Rm100 kalau belanja.
“Mungkin orang golongan atasan tidak rasa tekanan kos hidup, macam kami (B40) dengan anak sekolah memang terkesan sangat. Harap kerajaan dapat pertimbangkan balik dari segi pelaksanaan cukai, pantau harga peniaga.,” luahnya. – MalaysiaGazette