Komisioner Khaw Kok Chin .

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan penglibatan seorang warga Malaysia dalam aktiviti pengedaran dadah di India.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Komisioner Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya mengesan beberapa portal berita melaporkan tentang seorang penerbit filem Tamil warga India, Jaffer Sadiq, yang ditangkap di negara itu mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan dadah antarabangsa termasuk negara Malaysia.

“Portal tersebut juga didapati mendakwa aktiviti dadah yang didalangi Jaffer Sadiq ini diketuai oleh seorang warga Malaysia yang terlibat dalam industri perfileman Tamil.

“Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman setakat ini mendapati dakwaan portal tersebut tidak tepat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Kok Chin, setakat ini tiada maklumat tentang penglibatan Jaffer Sadiq dengan warga Malaysia dalam aktiviti pengedaran dadah di Malaysia.

Tambah beliau, JSJN akan terus menjalankan risikan dalam usaha mengekang aktiviti pengedaran dadah di negara ini. -MalaysiaGazette