Gambar hiasan

Oleh: Dr Hamidah Mat

TIDAK terlalu awal untuk setiap daripada golongan Muslim untuk mempersiapkan diri bersungguh-sungguh bagi menyambut kedatangan Ramadan yang mulia. Ramadan yang istimewa sudah pasti membekaskan kenangan dan imbauan pada pelbagai sudut kehidupan setiap daripada kita yang bergelar Muslim.  Tanpa disedari, kita membesar bersama Ramadan. Jika diteliti, Ramadan telah disyariatkan untuk menjadi penanda aras kualiti takwa dan iman yang ada dalam diri seseorang Muslim. Kedatangan Ramadan bukan hanya sekadar ritual yang berulang, tetapi satu peluang untuk setiap orang yang beriman memeriksa tahap dan kualiti takwa yang ada dalam diri.  Hal ini jelas dinyatakan pada ayat berkaitan kewajipan berpuasa yang disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 183:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan dan tujuan pensyariatannya iaitu untuk meraih takwa. Takwa yang menjadi matlamat utama puasa bukan sahaja ingin dicapai pada tahun-tahun semasa, tetapi harus dijadikan kayu ukur apabila tiba Ramadan tahun berikutnya. Ibarat mendaki tangga, begitulah tahap takwa yang sepatutnya dimiliki oleh setiap daripada kita.

Bagaimana takwa diraih?
Puasa ialah ibadah klasik yang sangat dekat dengan sifat semulajadi seorang manusia. Puasa, suatu ibadah yang kita tak perlu membuat apa-apa melainkan meninggalkan perkara yang biasa kita lakukan. Puasa juga ibadah yang tidak nampak di mata kasar manusia melainkan orang yang berpuasa itu sendiri dan Allah SWT. Lantaran itu, puasa ibadah istimewa yang mana ganjarannya diceritakan dalam sebuah hadis qudsi iaitu: Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya puasa adalah untuk-Ku. Dan Aku (Allah) sendiri yang akan mengurniakan ganjarannya”.(Hadis riwayat al-Bukhari) Dengan itu, dapat difahami, penjanaan takwa melalui puasa merupakan proses yang unik dan tersendiri. Melalui kelaparan dan ketahanan fizikal juga mental, manusia membina kekuatan dari dalam.

Kekuatan ini berpunca daripada sebuah keikhlasan menahan lapar semata-mata kerana taat kepada Allah SWT. Kekuatan yang dibina selama 30 hari akan menatijahkan sebenar-benarnya kekuatan yang perlu ada bagi manusia. Takwa inilah yang akan memastikan hubungan seorang hamba dengan Allah SWT sentiasa segar, kuat, intim dan kukuh. Umpama pengembara di dalam hutan, pengetahuan tentang arah amat penting agar dia tidak tersesat jalan. Takwa menjadi nadi kepada segala fikiran dan tindakan seorang Muslim.

Kekuatan takwa akan melahirkan seorang manusia yang rasional dalam menjadikan syariah sebagai panduan dan rujukan hidup. Takwa bukan sahaja penting sebagai penentu hubungan dengan Allah SWT, malah ia juga berperanan membentuk gaya fikir dan tindakan seseorang Muslim. Orang yang bertakwa akan bersungguh-sungguh melakukan perkara kewajipan dalam agama. Mereka juga akan bersungguh-sungguh menjaga hubungannya dengan manusia lain. Syariah menjadikan ‘hablum minallah dan hablum minannas’ itu sebagai suatu yang seiring.

Takwa dan kebaikan sering bergandingan
Penelitian terhadap ayat-ayat al-Quran mendapati bahawa takwa التقوى dalam al-Quran sering digandingkan dengan al-birr البر iaitu kebaikan dan kebajikan.
Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat, melainkan kebajikan itu ialah (kebajikan) orang yang beriman kepada Allah, hari Akhir, malaikat-malaikat, kitab suci, dan nabi-nabi; memberikan harta yang dicintainya kepada kerabat, anak yatim, orang miskin, musafir, peminta-minta, dan (memerdekakan) hamba sahaya; melaksanakan solat; menunaikan zakat; menepati janji apabila berjanji; sabar dalam kemelaratan, penderitaan, dan pada masa peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah: 177) Dalam al-Quran, perkataan al-birr disebut sebanyak lapan kali, tujuh daripadanya digandingkan bersama perkataan at-taqwa.

Contohnya sebagaimana yang terdapat dalam ayat-ayat berikut: Surah al-Baqarah (2): 177 dan 189, Surah Ali ‘Imran (3): 92, Surah al-Ma’idah (5): 2, Surah al-Mujadalah (58): 9. Ayat ini telah menghuraikan tentang isi kandungan البر yang menyentuh tatacara hubungan manusia dengan Tuhannya dan tatacara hubungan manusia sesama manusia. Melalui ayat ini dapat difahami bahawa البر merangkumi kebaikan secara menyeluruh serta merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia. Penutup ayat ini mengaitkan antara البر dan التقوى apabila Allah SWT menyifatkan orang yang melakukan apa yang disarankan dalam ayat ini sebagai orang yang bertakwa. Ini menguatkan lagi bahawa makna dan tuntutan البر dan التقوى adalah seiring. Justeru, takwa bukan hanya terbatas kepada aspek spiritual (hubungan hamba dengan Tuhannya) semata-mata malah menjangkau kepada aspek fizikal yang boleh dilihat dan dirasai oleh manusia dan terzahir dalam interaksi sosial antara mereka.

Merangka sambutan ketibaan Ramadan
Sebelum Ramadan, Nabi SAW memperbanyak puasa pada bulan Syaaban. Baginda SAW bersabda berkenaan puasa pada bulan Syaaban iaitu:
ذلِكَ شَهْرٌ يَغفُلُ النَّاسُ عنهُ بينَ رجبٍ ورمضانَ ، وَهوَ شَهْرٌ تُرفَعُ فيهِ الأعمالُ إلى ربِّ العالمينَ ، فأحبُّ أن يُرفَعَ عمَلي وأَنا صائمٌ
 “Yang demikian kerana ia merupakan bulan yang dilupai oleh manusia di antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan di mana diangkat padanya segala amalan kepada Allah Tuhan semesta Alam, maka aku suka agar amalanku diangkat sedang aku berpuasa”.  Imam Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah RA katanya:
لَمْ يَكُنِ النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أكْثَرَ مِن شَعْبَانَ

“Nabi SAW tidak pernah berpuasa dengan banyaknya selain daripada bulan Syaaban.” (HR Bukhari)  
Diceritakan bahawa Ammar bin Yasir r.a. bersedia untuk berpuasa pada bulan Syaaban sama sepertimana beliau bersedia untuk bulan Ramadan.

Doa pelengkap persiapan 
Sebagaimana Nabi SAW laksanakan, begitu juga golongan salafussoleh yang sentiasa melakukan persediaan menyambut bulan Ramadan dengan melakukan amalan-amalan soleh seperti puasa sunat, bersedekah, bertaubat dan kebaikan-kebaikan yang lain. Para sahabat RA amat mengambil berat dalam mempersiapkan diri untuk menyambut Ramadan. Mereka memperbanyak doa kepada Allah enam bulan sebelumnya agar Allah memanjangkan usia mereka ke Ramadan berikutnya. Kemudian mereka berdoa lagi kepada Allah pada enam bulan berikutnya agar Allah menerima ibadat puasa dan ketaatan mereka. Demikianlah para sahabat menjadikan sepanjang tahun itu seolah-olah menjadi Ramadan.  Antara doa yang sampai kepada kita daripada para sahabat berkaitan persediaan mereka menyambut Ramadan ialah doa Umar ibn Khattab r.a:

اللهمَّ زِدْنا ولا تَنقُصْنا وأَكرِمْنا ولا تُهِنَّا وأَعطِنا ولا تَحرِمْنا وآثِرْنا ولا تُؤثِرْ علينا وارضَ عنَّا وأَرضِنا

“Ya Allah! Tambahkan kami, jangan Engkau kurangkan. Muliakan kami, jangan Engkau hinakan, Kurniakan (nikmat) kepada kami, jangan haramkan kami (mendapatkanya). Berilah kelebihan kepada kami, jangan (sebaliknya) Engkau tidak memperdulikan kami. Redailah kami dan jangan Engkau jadikan kami hilang perasaan reda (terhadap) ketentuan Engkau”. Demikianlah sikap para sahabat dalam mempersiapkan diri menyambut Ramadan yang perlu kita contohi. Keterujaan dan semangat untuk menjana takwa perlu digemburkan dalam diri setiap umat Islam pada hari ini. Apa yang penting, sambutlah Ramadan dengan penuh keterujaan berserta ilmu pengetahuan. Ilmu dan amal sentiasa bergandingan. Amal akan lebih manis dengan ilmu, ilmu akan lebih bermanfaat bersama amalan.

Penulis adalah Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast