Gambar perkahwinan peniaga mi kolo kahwin serentak menjadi viral.

KUCHING –  Seorang peniaga mi kolo keturunan Cina mencetuskan kontroversi apabila gambarnya yang mengahwini dua wanita secara serentak tersebar dalam media sosial.

Difahamkan, gambar berkenaan pada asalnya telah dimuat naik oleh seorang pekerja restoran di Kuching, di mana lelaki itu mengadakan kenduri perkahwinan.

Gambar menunjukkan lelaki itu mengenakan busana perkahwinan tradisonal Cina dan juga ala barat bersama dengan dua isterinya, masing-masing seorang wanita Cina dan seorang warganegara Indonesia.

Dua pengantin wanita itu kelihatan memegang bunga dan memotong kek bersama-sama dengan seorang pengantin lelaki.

Selepas gambar berkenaan tular, wartawan Sinchew Daily telah mengunjungi gerai mi kolo di sebuah pasar raya di Kuching yang diusahakan lelaki itu.

Walaupun lelaki itu tidak berada di gerai dan pekerjanya enggan mengulas, tetapi pengusaha gerai lain mengesahkan identiti lelaki Cina itu yang mengahwini dua wanita secara serentak.

Difahamkan, pengusaha gerai berhampiran juga telah dijemput untuk menghadiri kenduri perkahwinan lelaki itu.

Mengikut Kanun Keseksaan 494, mereka yang melakukan kesalahan melakukan perkahwinan dengan orang lain semasa perkahwinan terdahulu masih sah boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan didenda jika didapati bersalah.

Sorang penolong pendaftar perkahwinan yang dihubungi Seehua Daily berkata, lelaki itu adalah tidak melanggar undang-undang jika dia beragama Islam atau hanya mengadakan kenduri perkahwinan tetapi tidak mendaftarkan perkahwinan.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Peguambela Sarawak, Liew Tang Chieh ketika dihubungi memberitahu Sinchew Daily, lelaki itu mungkin telah melanggar undang-undang jika mengahwini perempuan lain mengikut upacara tradisional dalam keadaan sudah mendaftarkan perkahwinan dengan wanita lain.

Katanya, sekiranya terdapat orang yang membuat laporan, maka polis berhak melakukan siasatan.

“Namun begitu, jika ketiga-tiganya tidak mendaftarkan perkahwinan, tetapi sekadar mengadakan kenduri perkahwinan, maka sukar untuk membuktikan dia berkahwin lebih daripada satu.

“Dari segi undang-undang,  perkahwinan itu mestilah monogami, tetapi berdasarkan gambar yang tersebar, tidak tahu sama ada mereka sudah mendaftarkan perkahwinan.

“Mungkin salah seorang wanita telah mendaftarkan perkahwinan dengan lelaki dan seorang tidak, atau ketiga-tiganya tidak melakukan pendaftaran,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.