KUALA LUMPUR – Perdagangan Borong & Runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM142.4 bilion, meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun pada Januari 2024.

Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, nilai jualan jatuh -1.1 peratus berbanding Disember 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan borong & runcit pada Januari 2024 dipacu oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 5.5 peratus atau RM3.3 bilion kepada RM63.7 bilion.

Kenderaan bermotor juga berkembang dengan mencatatkan 16.0 peratus atau RM2.4 bilion kepada RM17.6 bilion, diikuti oleh perdagangan runcit dengan pertumbuhan 2.6 peratus atau RM1.5 bilion untuk berada pada RM61.1 bilion.

Bagi perbandingan bulanan, pertumbuhan negatif iaitu -1.1 peratus berbanding bulan sebelumnya adalah disebabkan oleh perdagangan runcit yang menurun
-2.1 peratus, diikuti oleh subsektor kenderaan bBermotor yang menguncup -5.1 peratus.

Sebaliknya, subsektor perdagangan borong merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 1.2 peratus pada bulan ini.

“Pertumbuhan 5.5 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan borong pada bulan ini disumbangkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1.8 bilion atau 8.3 peratus kepada RM24.0 bilion diikuti oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau (4.6%), jualan borong barangan isi rumah (2.9%), jualan borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup (4.2%), jualan borong jentera, peralatan & bekalan (4.5%), perdagangan borong tanpa pengkhususan (4.3%) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (2.1%).

Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong kembali mencatatkan pertumbuhan positif iaitu 1.2 peratus, terutamanya disumbangkan oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau (6.7%), jualan borong barangan isi rumah (2.0%), lain-lain pengkhususan jualan borong (0.6%) dan perdagangan borong tanpa pengkhususan (0.6%).

Mengulas lanjut mengenai subsektor kenderaan bermotor, kenaikan 16.0 peratus tahun ke tahun pada Januari dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak 20.9 peratus atau RM1.6 bilion untuk merekodkan RM9.3 bilion diikuti jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor (11.9%), penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor (12.4%) dan jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal (5.4%).

Sebaliknya, bagi perbandingan bulanan, subsektor ini menguncup -5.1 peratus disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor yang merudum -11.3 peratus.

Bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini jatuh -1.6 peratus tahun ke tahun pada Januari 2024 berbanding -0.4 peratus pada Disember 2023.

Namun, bagi nilai pelarasan musim, indeks ini menokok 0.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Beralih kepada indeks volum, perdagangan borong & runcit pada Januari 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.5 peratus.

Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (12.1%), perdagangan borong (4.0%) dan perdagangan runcit (1.4%).

Bagi indeks volum pelarasan musim, ia jatuh -0.9 peratus bulan ke bulan. – MalaysiaGazette