Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmian Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024 di Hotel Seri Pacific, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pemain industri halal tempatan dinasihatkan agar tidak terlalu terbuka dalam perkongsian ilmu, strategi dan taktik pemasaran dengan negara antarabangsa yang lain.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi, langkah ini penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju dalam pensijilan dan pengeluaran produk halal yang terkemuka di peringkat global.

Beliau, selaku Pengerusi Majlis Halal Negara, menekankan bahawa perkongsian maklumat yang berlebihan boleh membuka ruang bagi negara lain meniru pendekatan Malaysia, sekaligus menjejaskan kedudukan negara ini sebagai peneraju produk halal yang dibina sejak 1974.

“Malaysia suatu ketika dahulu pernah menjadi pengeluar dan pengeksport utama komoditi getah dan sawit di dunia selain menjadi peneraju perbankan Islam.

“Namun, negara kini berada di belakang negara-negara jiran kerana terlalu banyak berkongsi ilmu dan strategi,” katanya dalam Majlis Perasmian Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024 di sini, hari ini.

Oleh itu, Zahid menekankan sikap terlalu ‘baik hati’ perlu dikawal untuk menjaga kepentingan ekonomi negara.

“Sikap kita yang berkongsi ilmu itu tidak dapat dinafikan adalah sesuatu yang bagus. Tetapi, mengapa kita perlu berkongsi dengan semua orang?

“Ada rakan yang boleh kita bincangkan tetapi ada juga yang di luar lingkungan kita. Ada yang boleh dibawa masuk ke halaman rumah tetapi kini kita seolah-olah membawa semua rakan berbincang hingga ke bilik tidur.

“Berkongsi terlalu banyak tentang strategi, taktik dan gerakan pemasaran akan menyebabkan kita akhirnya tertinggal di belakang,” tambahnya. – MalaysiaGazette