Rakaman kamera menunjukkan seekor kucing memasuki kilang Nomura Plating di wilayah Hiroshima, Jepun. foto Youtube

TOKYO – Penduduk di tengah Jepun telah diberi amaran supaya menjauhi seekor kucing selepas ia disyaki terjatuh ke dalam tangki bahan kimia beracun.

Amaran itu dibuat selepas seorang pekerja kilang menjumpai kesan tapak kaki kuning dari bekas.

Rakaman keselamatan kemudiannya disemak dan didapati seekor kucing melarikan diri, meninggalkan jejak tapak kaki.

Serentak itu, orang ramai diminta menjauhi haiwan itu dan melaporkan kepada polis jika nampak ia berkeliaran.

Dipercayai kucing itu telah berada di dalam tong kromium heksavalen, bahan kimia yang sangat berasid dan karsinogenik yang berwarna oren dan coklat.

Seorang kakitangan menjumpai kesan tapak kaki kucing ketika mereka tiba untuk bekerja semalam di Kilang Nomura Plating Fukuyama, menurut laman web berita Asahi.

Pasukan alam sekitar bandar Fukuyama memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyentuh “kucing yang kelihatan tidak normal” tetapi juga berkata haiwan itu mungkin mati akibat kejadian tersebut.

Syarikat yang memiliki kilang itu berkata, tangki berkenaan ditutup dengan kepingan, tetapi bahagian itu dilaporkan telah terbalik.

Kromium heksavalen boleh menyebabkan kerengsaan kulit, masalah pernafasan dan buta, dan kakitangan perlu memakai topeng dan sarung tangan getah apabila bekerja berhampiran bahan tersebut. – Agensi