Aktivis Hak Kewarganegaraan MUDA, Wong Kueng Hui menyerahkan memorandum bantahan mengenai cadangan pindaan kewarganegaraan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman di hadapan bangunan Parlimen.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mempersoal keputusan kerajaan yang seakan-akan terdesak mahu membuat pindaan undang-undang berkaitan kewarganegaraan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan bekas presiden parti tersebut menganggap tindakan itu hanya menambah penderitaan kepada generasi berikutnya sekali gus menjejaskan ramai kanak-kanak yang menunggu kewarganegaraan Malaysia.

“Ini adalah isu antara generasi dan jika pindaan perlembagaan regresif dibuat, maka generasi berikutnya akan terjejas dan tidak diberi hak kemanusiaan sepatutnya. Jadi saya akan tolak cadangan pindaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu ahli partinya dan menerima memorandum mereka yang membantah cadangan pindaan undang-undang itu oleh Kementerian Dalam Negeri di luar Parlimen hari ini.

Sementara itu, pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz turut menegaskan perjuangan terbabit bukan permainan politik kerana mereka yang ditindas memerlukan pertolongan semua pihak.

Jelasnya, penghapusan hak individu tanpa kerakyatan tidak boleh dikaitkan dengan peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bukan lagi kisah warna politik kerana keputusan pantas dalam satu hari itu akan akan membawa penderitaan antara generasi. Jadi ayuh kita hentikan ini bersama,” ujarnya.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, komposisi penduduk Malaysia terutama dengan adanya 3.5 juta warga asing memerlukan kerajaan meminda Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan baki 14,000 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15a Perlembagaan Persekutuan secara kuat kuasa undang-undang bagi anak luar nikah, anak angkat atau anak terbiar yang melebihi umur bayi sebelum 31 Disember ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, terdapat 59,000 permohonan di bawah kategori itu sejak 2013 sehingga kini dengan 35,000 daripada jumlah itu telah diproses dan 98 peratus berjaya mendapat kewarganegaraan.

Selain itu, katanya, terdapat 142 permohonan kewarganegaraan bagi bayi terdampar (dijumpai) yang diluluskan sejak 2014 sehingga tahun lepas yang diperolehi dengan menyediakan laporan polis, hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menjadi kebimbangan MUDA apabila pindaan terhadap jadual itu berdasarkan terma ‘penguatkuasaan undang-undang’ akan menyebabkan kanak-kanak yang ditinggalkan dikecuali daripada kerakyatan automatik.

Manakala, pindaan terhadap Seksyen 1(a) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan untuk memadam perkataan ‘penduduk tetap’ (PR) bakal mengakibatkan kanak-kanak yang lahir kepada ibu bapa PR tidak bernegara sekali gus tidak lagi memiliki akses kepada kerakyatan berdasarkan ‘penguatkuasaan undang-undang’.

Peruntukan itu ketika ini memberi kewarganegaraan kepada kanak-kanak terdampar menerusi penguatkuasaan undang-undang. – MalaysiaGazette