Kastam berjaya merampas kontraban, sisa elektronik dan bateri terpakai bernilai lebih RM6 juta dalam empat serbuan sekitar Lembah Klang.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan kegiatan penyeludupan barang kontraban merangkumi rokok, minuman keras tidak bercukai, e-waste (sisa elektronik) dan bateri terpakai bernilai lebih RM6 juta yang cuba dibawa masuk ke dalam negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata, Kastam telah mematahkan cubaan itu menerusi empat operasi berasingan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang antara 22 dan 28 Februari lalu.

Dalam operasi pertama itu, JKDM Zon Tengah Selangor telah menahan sebuah lori yang membawa 3.9 juta batang rokok haram yang dianggarkan nilai bercukai lebih RM3 juta di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

“Hasil pemeriksaan lanjut pasukan serbuan Kastam dalam lori itu berjaya membawa kepada penemuan sejumlah rokok putih pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran serta tidak berkastam.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia 50-an yang dipercayai pemandu lori berkenaan telah berjaya ditahan di lokasi bagi membantu siasatan lanjut Kastam,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Klang hari ini.

Tambah beliau nilai rampasan kesemua rokok seludup itu dianggarkan berjumlah RM392,000, melibatkan jumlah duti atau cukai bagi rampasan sebanyak RM2.6 juta.

Sazali berkata, nilai rampasan kedua melibatkan dua juta batang rokok pula dianggarkan bernilai lebih RM1.3 juta.

Menurut beliau, rampasan kedua itu dilaksanakan di sebuah gudang tidak berpenghuni yang terletak di Seri Kembangan pada 22 Februari lalu.

“Bagi rampasan ketiga pada 28 Februari lepas, serbuan dibuat di dua buah kontena yang kemudian membawa kepada penemuan dua juta batang rokok, 225 liter minuman keras dan empat kilogram barang dagangan disyaki e-waste (sisa elektronik).

“Kesemua rampasan di dua kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang itu dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta termasuk cukai kastam.

“Siasatan mendapati kedua-dua kontena itu telah diimbas dan imej imbasan menunjukkan objek meragukan serta tidak konsisten dengan deskripsi dagangan yang diikrar kepada Kastam,” ujarnya.

Tegasnya, dalam serbuan keempat yang dilaksanakan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang itu, Kastam telah menahan empat buah kontena yang kemudian didapati menyimpan 111,500 kilogram bateri terpakai dengan anggaran nilai berjumlah lebih RM1.1 juta.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast