Armizan Mohd Ali.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mempertimbangkan lesen bagi mengimport sebarang produk dari rejim Israel.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, KPND hanya boleh memantau sebarang produk dari Israel khususnya produk kurma yang dilaporan dijual di negara ini.

“(Perintah Kastam) Larangan import 2023, KPDN tidak mempunyai bidang kuasa untuk bagi mempertimbangkan lesen import apa-apa produk daripada Israel. Ini bermaksud di luar bidang kuasa KPDN. Sebagaimana kekhuatiran (Ahli Parlimen) Hulu Terengganu tadi.

“Kita akan terus memantau di pasaran melalui pelbagai akta yang terdapat di KPDN khususnya Akta Perdagangan untuk memastikan sekiranya terdapat pasaran kurma berkenaan berlegar untuk ditawarkan kepada pengguna,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Armizan berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang ingin tahu apakah tindakan yang telah diambil susulan pembongkaran terdapatnya kurma berasal dari Israel yang dibawa masuk ke Malaysia, yang jelas bertentangan dengan pendirian negara memboikot produk serta sekatan perdagangan dan ekonomi dengan negara haram tersebut.

Semalam, 73 pek kurma ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ dipercayai produk dari Israel, dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Klang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Rampasan itu membabitkan pek kurma seberat 14.6 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM678 dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah II Selangor susulan video tular dalam media sosial mendakwa terdapat sebuah premis menjual kurma disyaki produk dari Israel.

Dalam pada itu, Armizan berkata KPND telah memasukkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memantau produk tersebut dalam Op Pantau yang diadakan sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, akan datang.

“Kita sudah serta merta memasukkan dalam SOP dan juga terma rujukan Op Pantau yang kita telah lancarkan khas sempena Ramadan dan Aidilfitri ini untuk melihat secara terperinci mengenai jualan kurma yang didakwa tersebut dan kita amat berharap kerjasama daripada seluruh masyarakat dan aduan daripada awam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette