Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) bersalaman dengan murid tahfiz ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadhan 1445H di pekarangan Masjid Jamek Pekan Layang-Layang, Simpang Renggam hari ini. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

KLUANG – Kerajaan memutuskan untuk meminda beberapa syarat permohonan Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi menarik lebih ramai peserta warga asing ke negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata antara syarat dipinda ialah jumlah simpanan tetap yang diwajibkan, telah ditukar kepada tiga kategori iaitu platinum, emas dan perak.

“Kita juga dengan kerjasama Jabatan Imigresen akan mempermudah permohonan itu. (Pemohon) akan mendapat kelulusan setelah borang-borang (permohonan) diisi mengikut syarat dalam tempoh tiga hari bekerja.

“Hartanah yang dibeli (peserta) tidak boleh dijual sebelum mencapai tempoh matang selama 10 tahun sekurang-kurangnya, selain penyambungan visa (peserta) akan dibuat setiap lima tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di pekarangan Masjid Jamek Pekan Layang-Layang, Simpang Renggam di sini malam ini.

Beliau berkata kemudahan lain juga akan diberikan kepada peserta termasuk dari aspek pelajaran dan pendidikan sekiranya mereka mempunyai anak untuk belajar di sekolah pilihan mereka di negara ini. – BERNAMA