Faliq Firdaus.

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus tampil mempertahan diri dengan menegaskan dia tidak pernah menjauhkan diri daripada isu yang berlaku di kelab tersebut terutamanya melibatkan bekas ketua pasukan, Zaquan Adha Abd Razak.

Menerusi laman X (Twitter) miliknya, Faliq memberitahu, dia sentiasa berada di pejabat untuk didekati oleh mana-mana pemain bagi membincangkan satu-satu hal.

“Saya sentiasa berada di pejabat, tiada panggilan daripada dia (Zaquan) pada dua bulan terakhir ini. Hanya dua kali saya tidak membalas kiriman mesejnya iaitu pertama kerana ia pada tengah malam dan satu lagi kerana saya terlepas pandang.

“Selain daripada itu, dia hanya bertanyakan mengenai gaji. Saya ingin move on daripada perkara ini,” tulisnya.

Dalam masa yang sama, Faliq turut menegaskan yang dia sudah bertemu dengan para pemain selepas dua hari dia dilantik menjadi CEO kelab yang baharu.

Dia memberitahu pemain untuk selamatkan periuk nasi mereka terlebih dahulu dan jika mahu kekal bersama Negeri Sembilan maka perlulah menerima pemotongan gaji.

“Saya telah lakukan taklimat dengan para pemain tempatan secara maya dua hari selepas pelantikan saya sebagai CEO iaitu pada 12 Januari lalu.

“Dalam pertemuan tersebut ia melibatkan perbincangan mengenai gaji yang tertunggak dan saya beritahu kepada semua supaya jangan tunggu kelab. Jika ada dapat tawaran (dari kelab lain), sila ambil dan selamatkan periuk nasi masing-masing dulu.

“Jika ada pemain yang benar-benar ingin kekal di kelab, mereka perlu menerima potongan gaji dan perlu berikan nama kepada ketua pegawai operasi kelab,” jelasnya.

Sebelum ini, Zakuan mendakwa Faliq sentiasa mengelak daripada berjumpa dengannya sambil tidak peduli untuk membalas kiriman mesej menerusi WhatsApp serta menjawab panggilan telefon sehingga kontraknya tidak disambung oleh kelab tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast