Anthony Loke

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan sedia mempertimbangkan permohonan Kerajaan Negeri Kelantan bagi membenarkan bas dari Thailand masuk ke negeri berkenaan.

Bagaimanapun menurut menterinya, Anthony Loke,  terdapat pelbagai isu teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu khususnya melibatkan perlesanan.

“Kalau kerajaan Kelantan melihat ada keperluan itu mereka boleh tulis surat kepada kita untuk kita melihat sama ada bas dari Thailand tetapi ada pelbagai isu teknikal yang perlu diatasi termasuklah dari segi perlesenan dan pemandu dan sebagainya.

“Jadi itu perlu dikaji dengan mendalam sebelum sesuatu dasar itu diubah,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Kontrak Pay As Use bagi Lokomotif dan Wagon Antara Perbadanan Aset Keretapi dan SMH Rail Sdn Bhd.

Terdahulu, kerajaan Kelantan dilaporkan bakal mengadakan pertemuan dengan Anthony berhubung larangan kemasukan bas dari Thailand ke negeri sempadan termasuk negeri itu.

Kerajaan negeri berkenaan mendakwa larangan itu dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada kementerian berkenaan untuk pertemuan itu dan masih menunggu maklum balas.

Difahamkan selain Kelantan, negeri lain iaitu Perak, Kedah dan Perlis juga berdepan isu sama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast