KUALA LUMPUR – Kerajaan diingatkan supaya mendiskriminasikan pembangunan kawasan tertentu hanya kerana dendam politik.
Sebaliknya Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, usaha-usaha kerajaan terdahulu perlu diteruskan kesinambungannya dan ditambah baik melalui idea-idea baharu.
Menurutnya, tumpuan mesti diberikan kepada kawasan luar bandar khususnya di Sabah.
“Kemiskinan merupakan isu sosio-ekonomi yang merentasi sempadan politik. Ia menuntut kepada kebertanggungjawaban semua pihak khususnya kerajaan bagi merangka strategi terbaik untuk membolehkan masyarakat serta negara keluar daripada jerat kemiskinan.
“Keadilan sosio-ekonomi wajib dilaksanakan dengan pembangunan infrastruktur di lapan daerah di Sabah yang mencatatkan insiden kemiskinan tinggi mesti dipercepatkan. Berhentilah menuding jari,” katanya menerusi kenyataan.
Ujar beliau, Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama dengan baik bagi memastikan pembangunan dan ekonomi Sabah dapat berkembang sejajar dengan negeri-negeri lain.
“Kerajaan persekutuan dan negeri perlu fokuskan segala usaha secara bersama. Kepesatan ekonomi Sabah seperti yang sering dilaung oleh kerajaan negeri perlu dimanfaat oleh rakyat yang berada di luar bandar,” jelasnya.
Ronald berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Dewan Rakyat bahawa kemiskinan tegar di Sabah direkodkan pada kadar 1.2 peratus atau enam kali ganda berbanding kadar nasional sebanyak 0.2 peratus.
Ronald yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kenyataan Rafizi perlu diterima secara matang namun katanya, kadar kemiskinan yang diumumkan kerajaan itu sebenarnya sudah jauh menurun.
Tambahnya, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) merekodkan insiden kemiskinan di Beluran 12.1 peratus, tetapi angka itu turun kepada 5.0 peratus.
Manakala Tongod yang merupakan daerah termiskin juga merekodkan penurunan ketara daripada 19.7 peratus kepada 5.9 peratus.
Namun, Roland berkata, Ahli Parlimen Sabah sentiasa memperjuangkan kemiskinan dan jurang pembangunan yang ketara di antara Sememnanjung dengan negeri itu secara konsisten di dalam Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette