Anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melakukan persiapan untuk Operasi Pembenihan Awan ketika di Pangkalan TUDM, Subang. Foto MOHD ADZLAN, 12 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang memantau beberapa faktor sebelum operasi pembenihan awan susulan cuaca panas yang melanda beberapa negeri.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, MetMalaysia akan mengeluarkan panduan berhubung kesesuaian waktu bagi memastikan pelaksanaannya berkesan.

“Kita dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bekerjasama bila masa yang sesuai maka kita akan buat sebab pembenihan awan ada beberapa faktor yang sesuai walaupun cuaca panas kita perlukan hujan tapi kena tengok keadaan awan dan sebagainya keadaan yang sesuai sebelum ia dibuat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menurunkan tandatangan ketika Majlis Sambutan Ulang Tahun Persatuan Kelab Anak Muda Ke-70 di International Youth Centre, Cheras, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 16 MAC 2024.

“Kita di pihak MetMalaysia akan bagi panduan bila masa sesuai sebab kos pun tidak murah jadi bila buat kita nak betul-betul berhasil dan berkesan,” katanya ketika ditemui Perasmian Jubli Intan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan Ke-70.

Sebelum ini beliau berkata, beberapa kementerian dan agensi kerajaan telah diminta merujuk kepada garis panduan atau Manual Pemantauan Cuaca Panas yang dibangunkan NRE bagi bersiap siada menghadapi sebarang kemungkinan melanda negara.

Sebagai rekod, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 23 kes strok haba dilaporkan sejak awal tahun ini hingga Isnin yang lalu.

Selain itu, daerah Papar di Sabah baru-baru ini telab diisytihar  kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas.

Pengisytiharan dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Papar.-MalaysiaGazette