SHAH ALAM – Mayat seorang lelaki ditemui terapung di kunci air Sungai Klang, Jalan Kerapu 17/52, Seksyen 17, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mayat itu ditemui pada jam 11.56 pagi itu adalah hasil maklumat orang awam yang menjumpai dengan berpakaian lengkap dalam keadaan terlungkup.
“Hasil siasatan awal mendapati si mati merupakan seorang lelaki warganegara Nepal melalui salinan pasport yang ditemui pada si mati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan Forensik Selangor ke atas badan mayat itu mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh si mati yang boleh menyebabkan kematian.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Shah Alam jam 9 pagi ini untuk menjalani post-mortem bagi mengenal pasti punca kematian si mati dalam kes ini,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Laporan Mati Mengejut (SDR).
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Shahrul Bakhri di talian 012-3630512,” katanya. – MalaysiaGazette