Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto MUHD NA’IM, 21 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 42 laporan  berhubung penjualan stoking tertulis Kalimah Allah yang dikesan dijual di kedai serbaneka KK Mart di Sunway Pyramid.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serentak itu polis membuka dua kertas siasatan berkaitan isu tersebut.

“Siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan petang hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Kes masih di peringkat siasatan polis dan orang ramai dinasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

Terdahulu Ketua Polis Negara turut menegaskan akan memanggil semua saksi serta pengurusan KK Mart untuk dirakam keterangan membantu siasatan dalam isu tersebut.

Beliau turut mengingatkan semula bahawa polis tidak akan berkompromi dalam soal 3R iaitu agama, bangsa dan institusi Raja dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang. – MalaysiaGazette