Hamid Mohd Amin

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) masih mengesan kotak hitam helikopter miliknya yang mendarat cemas di perairan Pulau Angsa, di sini, pada 5 Mac lalu.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim, Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kes itu masih dalam siasatan pihaknya.

“Saya ada bincang perkara ini dan kita memang sedang mencari kotak hitam dan kes masih dalam siasatan.

“Apabila kita bersedia, kita akan dedahkan dan buat laporkan polis dan untuk makluman kepada media,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Maritim Malaysia mengesahkan helikopter jenis AW139 kendaliannya melakukan pendaratan cemas ketika latihan menyelamat di perairan di sini, jam 9.55 pagi, 5 Mac lalu.

Sebelum itu, bot pemancing di tempat kejadian memberi bantuan awal kepada kru terbabit dan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) serta KM Bagan Datuk turut diatur gerak bagi melakukan kawalan keselamatan.

Dalam pada itu, Hamid mengesahkan kesemua empat kru helikopter berkenaan sudah mula bertugas seperti biasa bermula minggu lepas.

“Juruterbang sudah kembali bertugas, saya dimaklumkan minggu lepas mereka sudah mula bertugas.

“Sebenarnya hanya seorang yang terkesan iaitu juruterbang, doktor kata badan tak ada isu.

“Yang lain semua sihat, kita bagi mereka bertenang seminggu, lepas itu mereka kerja dan bersemangat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette