Oleh: Dr. Abdul Hanis Embong
RAMADAN merupakan bulan mulia yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Bulan yang penuh dengan keberkatan ini membawa banyak manfaat dan rahmat bagi penganutnya. Dalam ramadan bukan sahaja ibadah puasa dilaksanakan, malah ibadah-badah sunat dan sunnah lain amat digalakkan seperti bersedekah, berzikir, solat malam dan lain-lain. Ramadan juga merupakan waktu yang tepat untuk meningkatkan pemahaman dan penghayatan terhadap al-Quran.
Al-Quran adalah kitab suci bagi umat Islam, terkandung padanya petunjuk dari Allah SWT. Manakala Ramadan merupakan waktu yang tepat bagi umat Islam untuk mendalami pemahaman tentang al-Quran dan mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya. Kemuncak kepada ajaran Islam ialah mengenal dan bertemu dengan Sang Pencipta, Allah SWT. Persoalannya ialah “Mengapa Ramadan menjadi bulan yang terbaik untuk memahami al-Quran?
Pertama, ketika berpuasa selama sebulan, maka kita mampu lebih fokus dan konsisten dalam membaca dan memahami Al-Quran. Ketika kita berpuasa, kita juga menjauhkan diri dari makanan dan minuman, masa dapat dimanfaatkan untuk memahami al-Quran. Kedua, di bulan Ramadan, kita juga memperbanyak ibadah sunat dan sunnah, seperti solat tarawih, zikir, tadarus dan solat tahajud. Dalam ibadah-ibadah tersebut,
kita membaca al-Quran dan memahami maknanya dengan lebih baik.
Ketiga, Ramadan juga merupakan waktu yang tepat untuk audit, muhasabah dan memperbaiki diri. Dalam proses tersebut, al-Quran menjadi panduan bagi kita untuk mengenali kekurangan dan kesalahan diri. Dalam Al-Quran, Allah SWT memberikan petunjuk-petunjuk tentang bagaimana kita dapat memperbaiki diri, memperbaiki hubungan sesama makhluk, dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.
Hubungan unik antara akal, hati dan al-Quran
Berasaskan kepada ketiga-tiga perkara di atas, timbul pula persoalan bBagaimanakah cara umat Islam memahami al-Quran untuk mengenal Allah SWT? Hakikatnya, cara untuk memahami al-Quran ialah dengan menghadirkan akal dan hati semasa membaca dan mentadaburnya, bukanlah sekadar membaca semata-mata. Hal ini kerana, hubungan antara akal dan hati sangat erat dalam memahami suatu perkara. Kedua-duanya saling berkait dan saling mempengaruhi antara satu sama lain dalam proses pemahaman serta mensintesis semua maklumat yang diperoleh. Seterusnya menggerakkan anggota badan untuk melaksanakan satu-satu amal ibadah.
Akal berkemampuan sebagai pusat rasional manusia untuk berfikir, menganalisa, dan menyimpulkan sesuatu berdasarkan logik dan fakta. Sedangkan hati merupakan sumber emosi, perasaan, dan kesadaran manusia yang mempengaruhi sikap, tindakan, dan pemikiran manusia. Ketika seseorang Muslim memahami suatu perkara, sama ada hal agama mahupun hal dunia, maka kemampuan akal diperlukan untuk menganalisa dan memahami dengan lebih rasional serta logik. Manakala, kewujudan hati berfungsi memahami suatu perkara lebih terperinci, kerana hati memungkinkan seseorang untuk merasakan emosi, perasaan, naluri dan kesedaran yang berkaitan dengan suatu perkara.
Tanpa akal, hati akan kehilangan arah dan tidak dapat memahami secara tepat. Tanpa hati, akal akan kehilangan kedalaman dan tidak dapat menjiwai sesuatu perkara sepenuhnya. Oleh karena itu, akal dan hati perlu bekerja secara harmoni bagi mencapai kefahaman yang utuh dan mendalam. Meskipun begitu, terkadang hati dan akal bertentangan antara satu sama lain, seperti ketika hati ingin melakukan sesuatu yang mungkin tidak logik atau rasional, ataupun ketika akal mengabaikan tuntunan emosi atau naluri. Maka satu panduan bertulis amatlah penting bagi menyeimbangi pertentangan tersebut bagi menghasilkan satu keputusan yang tepat. Panduan agung tersebut ialah wahyu al-Quran, Kalamullah.
Dalam konteks memahami al-Quran, akal dan hati diperlukan untuk memahaminya dengan baik sebelum diproseskan sebagai tindakan. Akal digunakan untuk menganalisa ayat-ayat Al-Quran dan memahami maknanya secara logik dan rasional. Sedangkan hati berperanan dalam merasakan keagungan, kebenaran, dan keindahan ayat-ayat al-Quran sehingga membuat seseorang semakin yakin dengan ajaran yang terkandung di dalamnya. Dalam Islam, hati disebut sebagai qalb-qulub yang berfungsi sebagai pusat keimanan dan kerohanian. Jika hati terbuka dan bersih, maka seseorang akan lebih mudah memahami al-Quran dengan baik. Oleh itu, selain menggunakan akal untuk memahami al-Quran, umat Islam juga perlu membersihkan hati dari dosa dan kesalahan agar dapat menerima ajaran-ajaran al-Quran dengan baik.
Dalil penjelasan akal, hati dalam konteks memahami al-Quran
Perkara ini jelas dibuktikan oleh beberapa ayat al-Quran tentang hubungan antara
akal dan hati dalam diri seseorang: Pertama: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal,” (QS. Ali Imran: 190). Ayat ini menunjukkan bahwa akal adalah salah satu sumber kebijaksanaan dan pemahaman manusia. Dalam penciptaan langit dan bumi, serta pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda yang dapat diungkapkan oleh akal manusia. Manakala bagi menjiwai kebesaran Sang Pencipta siang dan malam, perlu kepada hati.
Kedua: “Sesungguhnya Kami telah jadikan bagi manusia dalam al-Quran ini setiap macam perumpamaan supaya mereka dapat pelajaran (berfikir)"." (QS. Al-Zumar: 27). Ayat ini menunjukkan bahwa al-Quran memberikan berbagai macam perumpamaan
dan analogi yang mudah dapat difikirkan oleh akal manusia. Allah juga memberikan ayat-ayat keindahan dan kebenaran yang dapat dirasakan oleh hati manusia.
Ketiga: “Maka, bukankah ada baiknya mereka mengembara di bumi, sehingga hati mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata mereka itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada mereka,” (QS. Al-Hajj:46). Ayat ini menunjukkan bahawa hati dapat memahami satu-satu perkara ketika mengembara di bumi ini. Allah tidak menggunakan perkataan “akal” dalam ayat
tersebut, bahkan perkataan “hati” untuk memahami kebesaran-Nya.
Dari ayat-ayat al-Quran di atas, dapat disimpulkan bahawa akal dan hati memiliki peranan penting dalam memahami al-Quran mengenal Allah SWT. Kedua-duanya perlu bekerja secara seimbang agar seseorang dapat memiliki pemahaman yang utuh dan benar tentang al-Quran dan mengenal Sang Pencipta.
Kesimpulannya, bulan Ramadan merupakan peluang keemasan untuk memperkuat iman dan kecintaan terhadap Allah SWT melalui kefahaman al-Quran. Ketika bertadarus al-Quran, kita menjaga hukum-hakam tajwidnya, tugas ini daripada fungsi akal dan ilmu, namun apabila memerhatikan maknanya, akal dan hati berfungsi secara serentak yang akhirnya menjentik iman ke tahap lebih tinggi.
Semoga kita memanfaatkan fungsi hati sebaik mungkin dalam memahami al-Quran mengenal Allah SWT, serta dijauhi daripada memiliki hati yang keras yang akhirnya mengundang murka Allah SWT. Seperti yang digambarkan pada ayat berikut: “Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya,
adalah dalam kesesatan yang nyata (QS. Al-Zumar:22)”.
Penulis merupakan Timbalan Dekan (Bakat & Penyelidikan), Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu