KUALA LUMPUR – Pelawak, Achey Bocey berharap kemelut antara Ali Puteh dan bekas kakak iparnya, Nor Hidayah dapat diselesaikan secara baik.
Memilih untuk mendiamkan diri, Achey atau Mohd Nasir Hamzah, 37, enggan mencampuri urusan berkenaan selama ini kerana ia membabitkan hal peribadi keluarga arwah Abam.
Malah dia juga tidak pernah bertanya atau memberi nasihat kepada kedua-dua pihak namun mengakui tersepit untuk bertemu kerana bimbang ada hati yang akan terasa.
“Saya dan Fad bukan berdiam diri saja tapi kami doa daripada jauh untuk membantu dan menziarah, kami tunggu semua kemelut ini selesai walaupun sudah lama sebab ia melibatkan urusan keluarga sedangkan kami hanya orang luar.
“Saya boleh bercakap hanya luaran saja sebab memang tak layak kerana orang luar, kalau dah selesai macam-macam kami sudah rancang untuk ziarah semua dan kalau boleh dapat selesaikan semuanya pada raya kali ini.
“Pesanan saya kepada Ali dan Dayah kalau dua-duanya fikir tentang arwah (Abam) jadi tolong henti dan selesaikan smooth dan steady,” kata Achey.
Dia ditemui semasa Grand Iftar Majlis Meraikan Asnaf anjuran GNI Pharma Sdn Bhd yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.
Antara Selebriti tanah air yang hadir menyantuni asnaf dan anak yatim pada Majlis Grand Iftar Meraikan Asnaf anjuran GNI dengan kerjasama PPZ MAWIP di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 18 MAC 2024.Mengulas lanjut, Achey berharap keadaan menjadi normal secepat mungkin memandangkan anak arwah Abam semakin membesar.
“Bila ada pertanyaan kenapa kami tak bantu balu dan anak arwah (Abam), kami maklumkan itu hal keluarga. Kita tak boleh masuk campur, jauh sekali. Kami cuma ‘adik beradik’ dalam industri.
“Sebab apa anak-anak pun dah mula faham, kita tak nak anak-anak faham apa itu sifat benci. Itu darah daging, tak kira jauh atau dekat. Kalau boleh selesaikanlah elok-elok,” tambahnya.
Achey juga merayu balu dan adik Allahyarham Abam berlapang dada untuk menyelesaikan pergeseran sesama mereka dengan segera dan tidak ada lagi perselisihan faham tercetus.
“Kami tak layak masuk dalam, kita penat apatah lagi arwah yang dah ‘pergi’. Kalau kedua-duanya memikirkan arwah, tolonglah stop.
“Jangan di uar-uarkan. Tahu-tahu dah selesai, kan seronok. Kalau boleh secepat mungkin, saya pun nak beraya ke Sungai Besar juga, nak beraya ke Gombak juga.
“Sekarang ni nak beraya, bergambar bersama pun rasa serba salah. Sampai bila saya nak ada perasaan tu?” soalnya. – MalaysiaGazette