Kedah Agro Holdings merupakan anak syarikat Menteri Besar Incorporated.

KUALA LUMPUR – Kedah Agro Holdings telah memberi jaminan akan membayar gaji tertunggak kira-kira RM560,000 kepada 24 pekerja sebelum sambutan Aidilfitri bulan depan.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, mesyuarat lembaga pengarah Kedah Agro Holdings kelmarin juga memutuskan untuk menghentikan operasi anak syarikat Menteri Besar Incorporated itu.

“Justeru faedah penamatan dan gaji ganti notis akan dibayar dalam tempoh tiga bulan mulai Mac 2024.

“Pekerja juga telah dinasihatkan untuk memfailkan kes buruh bagi tuntutan gaji terhadap majikan dan JTKSM (Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Manusia) akan membuka siasatan sekiranya ada laporan difailkan dibawah Seksyen 19 Akta Kerja atas kesalahan pembayaran gaji lewat.

“Jika sabit kesalahan majikan boleh didenda tidak lebih RM50,000 setiap pertuduhan bawah Seksyen 99A Akta yang sama,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai aduan yang dibuat ke atas Kedah Agro Holdings sebelum ini.

Minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MBI Kedah Zafir Annuar Ghazali berkata, pihaknya sedang berusaha menyelesaikan isu gaji kakitangan anak syarikatnya, Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) yang tertunggak sejak September lalu.

Beliau memberitahu, MBI sedang meneliti isu berkenaan dan akan merujuknya kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan penyelesaian terbaik.

Jelasnya, antara langkah segera perlu diambil adalah menangani isu kelewatan dan tunggakan gaji kakitangan KAHB selain melihat peluang syarikat itu meneroka bidang perniagaan baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast