KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa umat Islam untuk meneruskan tindakan memboikot rangkaian pasar raya KK Super Mart.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu berkata, tindakan berkenaan sebagai pengajaran kepada pihak yang memperlekehkan agama dan kaum.
Beliau turut menyindir pihak yang menggesa agar tindakan memboikot rangkaian pasar raya itu dihentikan.
“Kekal tenang dan teruskan memboikot!! Lagi kuat kamu minta kawan kamu back up untuk tidak diboikot, lagi kuat umat Islam akan boikot kamu!
“Teruskan memboikot, kita bagi pengajaran keras kepada semua pihak yang suka-suka nak memperlekehkan isu agama dan bangsa. Ini masa kita semua bersama,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Muhamad Akmal pada Ahad lalu menggesa semua 881 cawangan KK Mart menulis dan memasang kain rentang permohonan maaf kepada umat Islam dalam tempoh dua hari atau berhadapan dengan kempen boikot.
Bagaimanapun beberapa pihak termasuk Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menggesa Muhammad Akmal memberhentikan kempen tersebut.
Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan itu mendakwa tindakan Muhammad Akmal bersifat menghasut sentimen perkauman dan agama.
Katanya, manipulasi sentimen perkauman dan agama yang digunakan Akmal adalah strategi lapuk yang tidak sesuai dengan usia mudanya dan era globalisasi pada hari ini.
Dia berkata, reaksi ADUN Melaka itu adalah memudaratkan dan mungkin akan memberi kesan kepada UMNO.
Bagi Kor Ming, permohonan maaf KK Mart melalui saluran dalam talian dan notis yang disiarkan di cawangannya sepatutnya sudah memadai.
Tindakan KK Mart menjual stoking bercetak kalimah “Allah” dalam tulisan Arab dan Rumi mencetuskan kegelisahan dan kemarahan penganut Islam.
Tindakan itu disifatkan sebagai biadab dan merupakan siri berterusan menghina agama Islam.
Pengurusan KK Mart tiga hari lalu memohon maaf dengan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr KK Chai menyatakan beliau sendiri tidak boleh terima penjualan stoking terdapat kalimah Allah.
Chai berkata, sepanjang tempoh 23 tahun mengusahakan perniagaan terbabit, tidak pernah pihaknya melakukan kesilapan seumpama itu.
“Sebaik isu ini tular di media sosial pada 13 Mac lalu, kami ambil langkah segera dengan memohon maaf di platform media sosial selepas dua jam mengetahui perkara berkenaan.
“Kita tidak mahu hanya memberikan alasan tetapi juga mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku termasuk segera tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi mengenai perkara ini pada Khamis lalu kerana mahu terangkan insiden ini dan memberi kerjasama kepada pihak polis,” katanya. -MalaysiaGazette