BUTTERWORTH – Seorang peniaga didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan kerana menyimpan sejumlah hidupan liar dilindungi tanpa lesen.
Tertuduh, Loh Kok Keong, 46, sebelum itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 30 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan 197 ekor ular sawa jenis ‘Ball Phyton’, tujuh kura-kura pelbagai spesies dan dua ekor iguana hijau yang merupakan haiwan liar dilindungi.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan di dua buah rumah di Butterworth di sini, antara 16 hingga 17 Julai tahun lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga minggu atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Nazaruddin Kamaruddin dan Nadzatul Nattassha Mustapha Kamal dan mereka memohon hukuman setimpal diberikan terhadap tertuduh bagi memberi pengajaran bahawa hidupan liar perlu dilindungi memandangkan ia adalah khazanah alam semula jadi.
Bagaimanapun, peguam, Foong Choon Kit, yang mewakili tertuduh merayu hukuman denda minima atas alasan anak guamnya telah insaf selain perlu menyara isteri serta dua anak yang masih bersekolah. – MalaysiaGazette