Nga Kor Ming.

KUALA LUMPUR – Tempoh kelulusan permohonan Lesen Berisiko seperti pusat hiburan, kilang dan tadika kini dipendekkan daripada 32 hari kepada maksimum 14 hari bekerja.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dokumentasi dan tempoh kelulusan bagi Lesen Tidak Berisiko yang melibatkan perniagaan kedai runcit, penjaja dan pejabat pula diproses dalam tempoh 24 jam sahaja.

“Inisiatif ini mengurangkan bilangan dokumen yang diperlukan kepada empat jenis dokumen sahaja dan kami menyisihkan dokumentasi secara manual dan surat menyurat iaitu ulasan dan penilaian teknikal semasa atau selepas lawatan tapak dilaksanakan secara dalam talian,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, inisiatif ini antara Garis Panduan Sistem Pusat Memudahcara Pelaksanaan (OSC) Pelesenan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menyeragamkan proses, dokumentasi, prosedur permohonan serta kelulusan lesen yang dilakssanakan tahun ini.

Menurutnya, garis panduan sistem berkenaan diwujudkan berlandaskan kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] yang akan diguna pakai oleh semua PBT di Semenanjung Malaysia dahulu dan akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada masa akan datang.

Tambah beliau, KPKT juga kini sedang berusaha mentransformasikan pengurusan hal ehwal pelesenan oleh Bahagian Pelesenan PBT dan Jabatan / Agensi Teknikal demi memastikan ketelusan dan integriti dalam permohonan lesen serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan Kerajaan.

Nga berkata, KPKT dengan kerjasama PBT sentiasa proaktif dalam memudahkan urusan permohonan lesen perniagaan kepada para peniaga tempatan yang menjalankan perniagaan di gerai kecil, tepi jalan dan premis lain.

“Inisiatif ini termasuk memanjangkan tempoh masa berniaga, bilangan hari berniaga dan menambah petak penjaja serta menguatkuasakan pengeluaran dan pemantauan lesen dan permit perniagaan kepada warganegara Malaysia sahaja,” tambahnya.-MalaysiaGazette