Gambar hiasan
PETALING JAYA – Walaupun Ramadan telah lapan hari berlalu, namun kehangatan beli-belah raya dilaporkan belum dirasakan.

Keadaan itu dikaitkan dengan faktor “pertengahan bulan” selain musim buka sekolah sebelum ini yang menyebabkan ibu bapa berbelanja besar.

Naib Presiden Persatuan Pemborong Malaysia, Oh Yee Chen berkata, mengikut kebiasaan, minggu pertama Ramadan adalah lebih sunyi, tetapi suasana membeli-belah akan mewarnai baki lebih 20 hari dalam Ramadan.

“Namun, kehangatan perniagaan ini belum dirasakan lagi pada tahun ini,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Beliau menjangkakan keadaan kurang hangat itu mempunyai kaitan dengan keadaan pertengahan bulan apabila ramai orang belum menerima gaji.

Katanya, kos sara hidup yang tinggi juga bermakna ramai orang tidak mempunyai lebihan duit yang banyak untuk berbelanja.

“Kami menjangkakan bahawa prestasi perniagaan hanya akan menjadi rancak pada 10 hari terakhir sebelum raya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) Malaysia, Chin Chee Seong berkata, trend pasaran semasa menjurus kepada “kurang beli dan kurang belanja”.

Beliau berkata, pengguna cermat dalam membeli barangan keperluan manakala permintaan untuk barangan bukan keperluan adalah sangat teruk.

Katanya, keadaan “teruk” itu kelihatan dalam jualan pakaian raya dan juga perkakas rumah apabila pengguna “perlahan” dalam melakukan pembelian.

“Peniaga sudah merungut bahawa keadaannya adalah lebih teruk berbanding tahun lalu.

“Prestasi sektor makanan dan minuman juga tidak memberangsangkan,” katanya.

Ujarnya, keadaan itu mungkin didorong oleh musim percutian dan buka sekolah sebelum ini, waktu ibu bapa membelanjakan banyak duit.

Katanya, kos sara hidup yang tinggi juga menyebabkan golongan B40 mengurangkan perbelanjaan raya.

Mengulas tentang perniagaan dalam talian, Chee Seong berkata, keadaannya juga tidak memberangsangkan dengan prestasi perniagaan dianggar merosot antara 30 hingga 50 peratus selepas pandemik.

Katanya, usahawan online berdepan saingan daripada peniaga e-dagang rentas sempadan manakala isu cukai perkhidmatan masih membayangi sektor logistik. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.