KUANTAN – Meletakkan kalimah Allah pada stoking yang dipakai di kaki adalah satu perbuataan penghinaan kepada agama Islam secara terang-terangan.
Walau apa pun alasan yang diberikan, perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana ia bukan perbuatan yang boleh dibuat main-main oleh mana-mana pihak.
Lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan pemimpin Kerajaan Perpaduan tidak sensitif dan bertindak mempersoalkan apa yang dipertahankan oleh rakyat beragama Islam.
Sharim Jamaludin, 36, berkata, mana-mana pemimpin atau parti sama ada dalam kerajaan atau pembangkang jangan mempersoalkan rasa marah umat Islam di negara kerana apa yang dilakukan oleh KK Mart menyentuh sensitiviti agama.
“Ini bukan soal politik atau membesar-besarkan isu ini tetapi sensitiviti kami sebagai umat Islam yang perlu dipertahankan,” katanya kepada MalaysiaGazette
Sementara itu, Adam Zakwan Zainuddin, 37, mengakui sedih apabila agama Islam dipermain-mainkan sebegitu, apatah lagi ia berlaku pada bulan Ramadan.
“Saya tertanya-tanya siapa dalang yang cuba menghina umat Islam dengan cara begini.
“Apabila meletakkan kalimah Allah di kaki, kita kena sedarkan perkara ini bukan suatu yang main- main, ini amat sensitif,” tambahnya.
Mohd Irfan Mohd Zamri, 29, pula berpendapat, tindakan memboikot pasar raya itu memang satu tindakan wajar semua jadi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak mengulangi perkara sama pada masa depan.
Menurutnya, kalimah Allah tidak boleh dimainkan atau diremehkan sebab ia bermain dengan isu agama.
Lagipun, penghinaan kepada Islam bukan kali pertama berlaku, bahkan berkali-kali.
“Sehubungan itu, umat Islam di negara ini perlu bertegas…boikot kerana isu kalimah Allah tidak boleh dimainkan atau diremehkan sebab ia adalah isu agama.
“Kali pertama bolehlah berbincang. Tapi bila kita jadi baik, jadi pemaaf, isu sama berulang-ulang pula berlaku. Lagipun negara ini ada undang-undang,” tegasnya.
Mustaqim Zakaria, 40, pula mempersoalkan kenyataan-kenyataan pihak yang mendakwa orang Islam rasis apabila bangkit mempertahankan isu ini.
“Apabila timbul isu sensitiviti Melayu dan Islam kita pula dituduh rasis dan ekstremis agama. Ini tidak betul seolah-olah dirancang oleh pihak tidak bertanggung jawab tetapi akhirnya kita dituduh, dipersalahkan.
“Sedangkan pihak yang mencetuskan perkara inilah yang menjentik dan mengusik keharmonian orang Melayu,” ujarnya sambil berharap pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci dan segera melaksanakan undang-undang dengan telus. – MalaysiaGazette