KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak keanggotaannya di 142 lokasi hotspot kesesakan di sekitar ibu negara sepanjang Ramadan ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, seramai 200 pegawai dan anggota trafik akan ditempatkan bagi menangani kesesakan lalu lintas di ibu kota.
“Kehadiran JSPT adalah bertujuan memberi pertolongan dan kerjasama kepada orang ramai selain memudahkan aliran trafik pada waktu kesesakan pada Ramadan kali ini.
“Saya mengambil kesempatan ini menyeru agar orang ramai mengawal emosi, bersabar dan jangan ambil tindakan melulu sekiranya menghadapi kesesakan jalan raya di ibu negara pada bulan penuh barakah in.
“Kita menjangkakan setiap hari kira-kira 1.2 juta kenderaan masuk ke ibu negara dan kira-kira 800,000 pada hari minggu sepanjang Ramadan,” katanya selepas mengedar bubur lambuk kepada petugas dan orang awam di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan memberi perkhidmatan terbaik bagi memastikan kelancaran trafik di ibu negara.
Sementara itu, Mohd Azman berkata, JSPT akan melancarkan Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan pergerakan balik kampung dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Selain itu, katanya, kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bagi menentukan premis ditinggalkan dalam keadaan selamat akan dilakukan. -MalaysiaGazette