Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Sejumlah 3,903 tan kuota minyak masak paket bersubsidi ditarik balik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, jumlah minyak paket itu diberikan kepada syarikat pembungkusan berakhir 1 Januari lalu.

“Selain penarikan balik kuota minyak masak, KPDN juga akan menggantung dan menarik lesen pembungkusan kepada syarikat yang melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2023) peringkat KPDN di Dewan Rakyat.

Daripada jumlah itu, Johor paling banyak ditarik balik dengan 1,972 tan sementara 1,828 tan di Sabah dan sebanyak 100 tan di Negeri Sembilan.

Sehingga Mac tahun ini, Fuziah berkata, kerajaan hanya membayar untuk 59,774 tan minyak masak paket kepada syarikat pembungkusan semula dan syarikat penapisan minyak masak.

Fuziah menjelaskan, peruntukan tambahan yang diterima KPDN itu digunakan bagi pemberian subsidi kepada syarikat pembungkusan semula dan syarikat penapisan minyak masak.

Tahun lalu sahaja, sejumlah 21 syarikat penapisan semula minyak masak paket mendapat bayaran subsidi itu manakala 366 syarikat pula di bawah kategori syarikat pembungkusan semula.

“Untuk syarikat pembungkusan semula, kita berikan subsidi 60 sen bagi setiap kilogram manakala untuk syarikat penapisan minyak diberikan subsidi berdasarkan jumlah yang mereka edarkan kepada syarikat pembungkusan minyak masak paket,” katanya lagi.

Dalam pada itu, sejumlah 256 kes penyeludupan melalui sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dikesan melibatkan ketirisan bekalan minyak masak paket dikesan yang membabitkan nilai rampasan RM3.54 juta.

“Sistem eCOSS membenarkan kita mengesan perjalanan penghantaran minyak dari syarikat penapisan minyak kepada syarikat pembungkusan serta pengedaran kepada pemborong dan peruncit, jika kita dapat mereka menyeludup ke luar negara sudah pasti kita akan tahu dan boleh mengambil tindakan gantung, membatal dan menarik lesen yang diberikan,” kata Fuziah lagi. – MalaysiaGazette