'Boikot KK Mart Selamanya' itulah kata-kata Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu-Islam (Nasionalis) mengenai isu stoking yang mempunyai cetakan kalimah Allah ketika di Anjung Melayu, Dewan Perniagaan Melayu, (DPPM) Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 20 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dianggap gagal menyelesaikan isu stoking kalimah Allah kerana sehingga hari ini tiada tindakan tegas dikenakan terhadap rangkaian pasar raya KK Super Mart.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (PKASM), Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari berkata, kegagalan kerajaan ini membawa kepada titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam yang murka terhadap tindakan berkenaan.

“Saya yakin Agong ambil masa bertitah kerana  memberi masa kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini malangnya gagal sehingga perlu campur tangan Agong sehingga terpaksa menitahkan untuk kerajaan lakukan tindakan.

“Sehingga hari ini, sehingga saat ini, tiada lagi tindakan tegas dikenakan terhadap KK Mart sebagai penjual stoking kalimah Allah,” katanya ketika sidang media Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu-Islam (Nasionalis) di Anjung Melayu hari ini,

Tegas beliau, bukan saja tiada tindakan, malah pemimpin parti politik bukan Islam yang juga antaranya merupakan menteri mendakwa isu ini tidak perlu diperbesarkan.

Lebih buruk, apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Dr Tiong King Sing selain MCA menyifatkan  isu stoking kalimah Allah ini dipolitikkan dan berunsurkan perkauman.

Sedangkan katanya, ia melibatkan isu kalimah Allah yang perlu dipertahankan oleh umat Islam.

“Saya nak bagi amaran kepada orang- orang politik kafir, pertama MCA, DAP dan Menteri Pelancongan yang kata ini isu kecil.

“Setiausaha Agung DAP, sekarang dia sibuk nak jaga hal ehwal agama Islam. Saya nak gesa Agong lucut jawatan mereka kerana masuk campur agama Islam.

“Kalau kamu nak hina orang Melayu mungkin kami masih beradab boleh maafkan tapi ini isu Allah, sekurang-kurangnya jangan sentuh isu ini. Mereka ini yang jadi menteri ini sudah  angkat sumpah untuk jaga kerajaan Malaysia macam mana kata ini isu kecil?,” soal beliau.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu-Islam (Nasionalis) Aminuddin Yahaya menggesa supaya menteri-menteri dan pemimpin tertinggi parti politik yang beragama Islam memanfaatkan Dewan Rakyat untuk menyuarakan pendirian mereka berhubung isu yang sedang hangat ini.

“Kita nak dengar jugalah menteri-menteri Islam, kalau betul mereka memperjuangkan  agama Islam bangkitkan isu ini,” katanya.

Terdahulu Aminuddin menyarankan pihak berkuasa memberi kenyataan terbuka mengenai perkembanvan siasatan dan tindakan yang akan dilakukan terhadap pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan dan menjual stoking cetakan kalimah Allah.

Dalam masa yang sama beliau menggesa supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menggantung lesen KK Mart sehingga siasatan terhadap pasar raya itu selesai.

“Kita juga menyeru umat Islam selaku pengguna untuk tidak membuat transaksi (pembelian)  barangan KK Mart demi menjaga kemuliaan agama Islam,” katanya lagi.

Selain itu Aminuddin mendesak sulaya pemimpin parti tidak mengeluarkan kenyataan seolah-olah menyokong KK Mart namun mengguris hati umat Islam.

“Kami juga menuntut semua pemimpin parti supaya menghentikan sebarang kenyataan yang dilihat menyokong KK Mart dengan mengatakan perkara ini tidak boleh diperbesarkan kerana ini isu besar, isu utama dalam Islam,” ujarnya.-MalaysiaGazette