PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Model sambilan yang ditahan polis selepas membunuh teman lelakinya di sebuah kondominium di Kota Kemuning Shah Alam 11 Mac lalu akan didakwa di Mahkamah Banting esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, polis sudah mendapat arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa suspek yang berusia 26 tahun itu.

“Sebelum ini kita telah tahan reman suspek yang juga bekas pelajar perubatan selama tujuh hari sebelum sambung reman sehingga 22 Mac ini bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Kertas siastan yang dilengkapkan telah dirujuk kepada TPR dan sudah menerima arahan untuk mendakwa suspek wanita itu di mahkamah esok (22 Mac),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, suspek warga tempatan itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting Kuala Langat jam 9 pagi esok.

“Suspek akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan,” katanya lagi.

Siasatan polis mendapati punca kejadian dipercayai bermotifkan cemburu kerana mangsa yang merupakan jurufoto sambilan itu didakwa curang dan mempunyai teman wanita lain.

Wanita berkenaan bertindak mengkelar pergelangan tangan kiri dan kaki kiri teman lelakinya.

Suspek berjaya diberkas anggota polis di sekitar kawasan Hospital Cyberjaya selepas membawa kekasihnya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast