Allaudeen Abdul Majid menunjukkan barang kemas dan peti besi mengandungi jogkong emas yang ditemui semula di dasar sungai Sembrong, Batu Pahat 19 Mac lalu.

KUALA LUMPUR – Kehilangan peti besi berisi jongkong emas, wang tunai dan barang kemas dengan beberapa beg tangan berjenama yang kesemuanya bernilai RM3.5 juta yang disyaki dilarikan dalam insiden pecah rumah pada 4 Mac lalu akhirnya terungkai.

Polis berjaya menyelesaikan kes yang berlaku rumah pempengaruh terkemuka di Padang Balang, Sentul itu dengan tertangkapnya empat suspek tempatan terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita yang disyaki bertanggungjawab di sebalik jenayah tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, hasil tangkapan itu turut membawa kepada rampasan semula peti besi yang mengandungi jongkong emas selain barang kemas serta beg tangan berjenama yang kesemuanya berjumlah RM2.1 juta.

“Bertindak atas laporan polis oleh pengadu, polis Wangsa Maju menubuhkan pasukan khas untuk mengesan dan menangkap suspek kes tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada 5 Mac lalu Pasukan Unit Jenayah Risikan (D4) Ibu Pejabat Kontinjen Selangor membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan tiga perempuan tempatan berusia 22 hingga 36 tahun di Batu Pahat, Johor selepas disyaki terlibat dalam beberapa siri kes pecah rumah di negeri tersebut.

“Hasil tangkapan itu, polis menerusi pemeriksaan di salah sebuah rumah yang dibawa suspek di Batu Pahat berjaya menemui pelbagai jenis barang kemas, jam tangan dan beg tangan berjenama,” katanya.

Mengulas lanjut, Allaudeen menambah, keempat-empat suspek itu kemudian direman oleh polis sehingga 16 Mac lalu bagi membantu siasatan lanjut.

Justeru keempat suspek itu telah diserahkan kepada polis unit D4 Wangsa Maju sebelum dilanjutkan reman selama sembilan hari bermula 17 hingga 25 Mac 2024.

“Pada 19 Mac lalu bertindak atas hasil soal siasat dan berpandukan arah oleh suspek lelaki 36 tahun yang merupakan dalang utama kes ini telah membawa pasukan IPD Wangsa Maju kepada penemuan jongkong emas.

“Polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat ke Sungai Sembrong di Batu Pahat sebelum menyelam di dasar sungai dan berjaya menemui semula peti besi pengadu yang mengandungi empat keping jongkong emas bernilai RM1 juta.

“Selain daripada jongkong emas,pihak polis juga berjaya menemui semula beberapa barangan lain pengadu yang dilaporkan hilang iaitu 15 utas rantai emas, 14 gelang emas, dua bentuk cincin emas, tujuh beg tangan berjanama, satu loket emas dan sebentuk subang emas berjumlah RM2.1 juta,” ujarnya.

Siasatan lanjut mendapati suspek lelaki itu merupakan dalang utama dalam kes berkenaan dan semakan mengesahkan dia juga memiliki 20 rekod lampau bersangkut jenayah dan dadah.

“Kita juga berjaya merampas wang tunai RM60,000 daripada jumlah RM400,000 milik pengadu yang hilang dalam kejadian itu sindiket ini juga dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Kelantan dan Selangor dengan menggunakan modus operandi menyasarkan ahli perniagaan dan pempengaruh media sosial.

“Polis akan melengkapkan kertas siasatan dan mengangkat kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat dengan cadangan tuduh di mahkamah,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast