Kurma merupakan pemanis mulut yang menjadi pilihan umat Islam ketika berbuka puasa.

BULAN Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan bagi umat Islam di seluruh dunia. Selain sebagai bulan ibadah yang diwajibkan berpuasa, Ramadan juga merupakan waktu yang tepat untuk memperbaiki hubungan dengan Allah, meningkatkan amalan kebaikan serta memperkuat jalinan silaturahim. Bagi memastikan ibadah puasa dilakukan dengan baik dan memberikan manfaat yang optimum, adalah penting untuk memahami keperluan serta tips pemakanan yang perlu diamalkan sepanjang bulan Ramadan.

Bumi mengandungi kira-kira 70 peratus sumber air yang antara lain berfungsi melarut bahan-bahan lain untuk membolehkan tumbuh-tumbuhan mendapat nutrien yang diperlukan untuk proses fisiologi.

Begitu juga manusia, air merupakan unsur penting yang memainkan peranan besar dalam menjaga kesihatan semasa berpuasa. Lebih 60 peratus cecair dalam badan manusia terdiri daripada air dan individu memerlukan air yang secukupnya setiap hari bagi mengekalkan tahap kesihatan tubuh berada pada tahap terbaik.

Menurut kajian, badan memerlukan kira-kira lapan gelas air setiap hari untuk mengekalkan keseimbangan tubuh serta kekal hidrat khususnya di bulan Ramadan. Pakar mencadangkan bahawa pengambilan air yang secukupnya ketika sahur dan waktu berbuka suatu keperluan yang tidak boleh dipandang enteng terutamanya golongan yang sering terdedah di bawah cahaya matahari.

Selain itu, pengambilan nutrisi seimbang juga aspek penting dalam menjalani ibadah puasa. Pilih makanan yang mengandungi nutrisi seimbang seperti karbohidrat kompleks, protein, lemak yang sihat, serat, vitamin dan mineral. Ini termasuklah buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, daging tanpa lemak, ikan, telur dan kekacang.

Pengamal perubatan turut menjelaskan bahawa puasa juga boleh membantu meningkatkan kualiti tidur seseorang. Apabila tubuh berada dalam keadaan puasa, ia mengalami penurunan hormon stres seperti kortisol dan pada masa yang sama, peningkatan pengeluaran hormon seperti serotonin yang menenangkan jiwa dan mental.

Sementara itu, pakar pemakanan dan juga penyelidik di Fakuti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr. Hayati Mohd Yusof menyarankan pengambilan makanan secara sederhana mampu mengekalkan kecergasan
badan sepanjang bulan ramadan.

Puasa adalah ibadah yang perlu dimulai dengan niat, iaitu kita melakukannya kerana Allah. Terdapat kajian ke atas 6,391 orang di Amerika mendapati  individu yang berniat dan berjaya menurunkan berat badan, menurunkan jumlah kematian (mortaliti).

Malah golongan yang mempunyai niat dan berusaha tetapi tidak berjaya juga merekodkan penurunan kematian sebanyak 20%. Justeru, perkara pertama dan utama dilakukan sepanjang kita berpuasa adalah memperbetulkan niat terlebih dahulu untuk membolehkan kita mendapat manfaat kesihatan, selain daripada mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.

Ketika sahur, elakkan makan terlalu banyak. Sebenarnya badan kita ada memberi signal, sama ada kita abaikan atau peka dengannya. Apabila badan mula menerima makanan, hormon lapar (ghrelin) akan terhenti fungsinya, manakala leptin (hormon kenyang) akan
mula dirembeskan yang bertindak menghantar signal ke otak untuk berhenti makan. Otak akan menghantar signal tersebut ke perut dan kita mula rasa kenyang. Tetapi dalam keadaan kita makan tanpa sedar, signal tersebut telah diabaikan.

Menurutnya, pemilihan makanan juga penting bagi mengelakkan sebarang kesan buruk kepada kesihatan badan. “Kita juga perlu pilih makanan yang baik, iaitu makanan yang membekalkan kita tiga makronutrein karbohidrat, protein dan lemak, di samping mikronutrein vitamin, mineral dan fiber. Segelas susu adalah hidangan yang paling sempurna kerana ia membekalkan kesemua mikronutrein dan makronutrein dalam kadar yang paling optimum.

Tambahnya, berbuka puasa dengan memakan makanan manis merupakan pilihan yang perlu diamalkan oleh muslim yang berpuasa. Ketika berbuka puasa, mulakan dengan makanan yang manis seperti kurma. Khasiat yang terdapat pada buah kurma dapat membekalkan gula yang cukup untuk darah kerana ia mengandungi lebih kurang 10 gram sumber karbohidrat, iaitu bersamaan dengan dua sudu kecil gula. Walaubagaimanapun gula hanya membekalkan sumber tenaga 100% tanpa ada fiber, protein dan mineral.

Secara umumnya, untuk kekal dalam keadaan hidrasi dan mengelakkan berlakunya dehidrasi yang teruk, makanan perlu diambil dengan seimbang. Rutin semasa ibadah berpuasa terkandung banyak manfaat, sebagai contohnya setelah iftar, kita cenderung untuk makan secara luar biasa berbanding hari biasa, justeru Allah telah aturkan solat sunat terawih. Dalam tempoh masa sekurang-kurangnya 45 minit (bermula dari solat isyak), senaman ringan yang membantu proses penghadaman melalui solat dikerjakan.

Uniknya, setiap gerakan dalam solat ini adalah senaman untuk otot dan sendi-sendi, merangkumi bahagian belakang, perineum, kaki dan leher dengan rukun sujud yang telah ditunjukkan secara saintifik meningkatkan bekalan darah ke otak. Kita akan bangun lebih awal untuk sahur, malah amat disarankan melakukan solat tahajjud terlebih terdahulu.

Tambahnya, kajian analisis meta juga melaporkan solat di awal pagi yang sunyi dapat memberi ketenangan dan mengurangkan tekanan (stres) secara ketara. Walaupun tempoh berpuasa hanya satu bulan, ia berupaya memperbaiki profil kolesterol dalam darah dan meningkatkan sistem imun badan.

Ditulis oleh Amirul Salam Hasan & Noor Hafizah Ghazali
Pejabat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Terengganu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast