Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Sikap mendiamkan diri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai isu tunggakan gaji kakitangan Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) yang didakwa tidak dibayar sejak September lalu, dikritik UMNO Kedah.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Sanusi sepatutnya bersifat perikemanusiaan apabila menjadi jalan untuk menyelesaikan masalah itu dan tidak menangguhkan apa sahaja cara untuk membantu pekerja KAHB.

“Kalau kita fikir logik, seorang pemimpin kalau benar benar berhati rakyat, mesti pemimpin ini tidak akan tangguh sesaat pun untuk membayar gaji gaji yang tertunggak, hatta kalau terpaksa memotong gaji sendiri.

“Tetapi Sanusi ini lain, orang kata baka istimewa, Sanusi bukan sahaja tidak tolong, malah berdiam diri tidak keluar apa apa kenyataan, tidak memulakan apa apa siasatan lanjut.

“Dan betapa berbezanya baka Sanusi ini, dia meraikan penderitaan dan kepedihan pekerja tersebut dengan membeli kereta baru. Dan bukan kereta biasa biasa, kereta berharga hampir RM400,000. Itu belum lagi kita nak kira no plat kenderaan yang ditempah khas,” katanya dalam satu kenyataan.

Shaiful Hazizy dieprcayai merujuk kepada laporan sebuah portal yang mendakwa Sanusi bertindak membeli sebuah kereta mewah berharga RM400,000.

Laporan itu menulis nombor pendaftaran kereta yang dipakai pemimpin Pas itu sama dengan kereta baru yang diperlihat netizen di jalan raya.

Memetik laporan netizen, laporan itu mendawka nombor pendaftaran ‘KCX 8’ itu dipasang pada kereta Hyundai Palisade yang paling terbaru di pasaran.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia telah mengeluarkan notis kepada KAHB berhubung tunggakan gaji 24 pekerja sejak September.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, notis itu dikeluarkan pada Januari lalu dan mereka telah berjanji memohon bantuan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin.

Malah Steven berkata, Kedah Agro Holdings telah memberi jaminan akan membayar gaji tertunggak kira-kira RM560,000 kepada 24 pekerja sebelum sambutan Aidilfitri bulan depan.

Shaiful Hazizy dalam pada itu berkata, sikap berdiam diri ini tidak membawa apa-apa faedah kepada kepentingan pekerja-pekerja syarikat itu sehinggakan kerajaan pusat terpasksa masuk campur.

“Adakah ini MB yang anda mahu memeintah Kedah? Adakah ini perangai MB daripada parti Islam? Adakah ini MB yang dikatakan panglima Pas? Adakah ini MB SEMPOI kesayangan anda?

“Tepuk dada tanya selera. Bukti sudah ada depan mata,” soal Shaiful Hazizy lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast