Foto pelancaran MyKampung Freshmart yang ditularkan di media sosial.

KUALA LUMPUR – Pendakwah Islam Firdaus Wong Wai Hung tampil meminta maaf berhubung isu stoking mempunyai kalimah Allah yang dijual di pasar raya KK Mart.

Dalam perkongsian di TikTok, beliau secara sinis berkata, permohononan maaf dibuat kerana dia tidak pernah menulis dan mendakwa menjadi orang pertama menjumpai stoking itu.

“Malahan di dalam hantaran yang sama itu juga tidak ada saya menulis agar kita memboikot KK Mart.

“Jadi memandangkan saya tidak pernah menulis bahawa saya adalah orang pertama menjumpai stoking tersebut dan meminta orang memboikot jadi saya meminta maaf.

“Kerana posting-posting anda telah menunjukkan kejahilan dan kebodohan anda itu sendiri,” katanya yang menjawab tuduhan segelintir warganet kononnya pendedahan yang dilakukan mempunyai niat tersembunyi.

Beliau turut meminta maaf kepada pihak yang mahu memboikot perniagaan runcit ‘MyKampung Freshmart’ yang dilancarkannya pada 2021 sebagai membalas tindakan pemulauan terhadap KK Mart.

Menurut Firdaus, ‘MyKampung Freshmart’ telahpun ditutup kira-kira dua tahun lalu.

“Begitu ramai orang menghantar posting kepada saya, perkongsian oleh ramai pengguna di media sosial di mana mereka cuba membina satu persepsi kononnya isu kalimah Allah ada unsur sabotaj dari saya atas sebab persaingan perniagaan.

“Sedangan jika mereka rajin membaca dan mengkaji serta mengenali saya, mereka akan tahu bahawa MyKampung Freshmart telahpun ditutup operasi lebih kurang dua tahun lepas.

“Jika mata mereka tidak ada masalah penglihatan sudah tentu mereka akan dapat melihat di banner tersebut tertera pembukaan adalah pada April 2021 dan bukan 2024,” katanya.

Pendakwah itu berkata, dia tidak bimbang jika ada pihak yang mahu memboikot dua perniagaan yang sedang diusahakan iaitu portal berita dan penyewaan motorhome untuk percutian.

Sebagai penganut Islam, beliau yakin segalanya telah ditetapkan oleh Allah termasuk rezeki.

“Jadi jika nak boikot silakan, jika Allah mengkehendaki, dikumpulkan segala manusia, anda tidak boleh lakukan apa-apa. Itu keyakinan saya kepada Allah.

“Selain daripada meminta maaf, saya ucapkan terima kasih kerana menghadiahkan pahala atas fitnah.

“Ini (maksudnya) benci tapi rindu, malu tapi mahu. Bayangkan kalau tidak mencintai, merindui seseorang mana mungkin anda beri hadiah kepada mereka. Ini hadiah pahala kepada saya. Saya ingin ucapkan terima kasih banyak-banyak,” katanya menyindir.-MalaysiaGazette