Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza melibatkan 100 kontena di Pangkalan Udara TUDM Subang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 23 MAC 2024.

SUBANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka menyatakan pendiriannya menyokong perjuangan Hamas.

Katanya, sokongan tersebut adalah atas nama perjuangan kemanusiaan yang dituntut oleh kumpulan itu.

“Secara peribadi saya terus terang saya pendokong kepada Hamas. Ia bukan hanya retorik malah saya buktikan dengan menjemput rakan daripada Hamas.

“Kami bukan pendokong keganasan, tapi kami pendokong perjuangan Hamas atas nama kemanusiaan dan keadilan sejagat saya tidak ada dakwa dakwi soal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan Malaysia Ke Gaza yang digerakkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Menurut beliau, isu Palestin yang menjadi tumpuan dunia amat dekat di hatinya kerana ia jelas melibatkan aspek kemanusiaan dan penindasan.

“Perjuangan kami (saya dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) sama iaitu memperjuangkan sejagat dan manusiawi Palestin terlalu dekat di hati kami,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengumumkan bantuan dana kepada MAPIM sebanyak RM1 juta untuk Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan Malaysia Ke Gaza.

Beliau berharap agar bantuan tersebut dapat membantu NGO berkenaan dalam proses penghantaran bantuan ke Gaza.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast