Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Tidak wujud draf perjanjian baharu Kerajaan Madani seperti didakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN), berkaitan tuntutan peruntukan wakil rakyat pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menegaskan,  beliau tidak menyerahkan sebarang draf dokumen seperti didakwa dalam pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 19 Mac lalu.

Dalam pertemuan di Parlimen itu, beliau hanya mendengar permohonan PN dan mendengar apa yang mereka tawarkan.

“Tiada sebarang dokumen diberi mahu pun diterima, justeru tidak wujud satu dokumen ‘draf perjanjian’ di antara Kerajaan Madani dan Pembangkang seperti dakwa,” katanya yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan menerusi kenyataan malam ini.

Dalam pada itu, Fadillah turut mempersoalkan dakwaan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengenai draf berkenaan.

“Tapi adakah YB Rosol sudah lihat ‘draf’ itu? Jika belum, mintalah ‘draf’ itu dari Ketua Pembangkang. Cuba lihat ‘draf’ itu wujud atau tidak,” katanya.

Menurut beliau lagi, dalam pertemuan bersama wakil-wakil Pembangkang minggu lalu, tiada sebarang dokumen diberi oleh pihak Kerajaan Madani mahupun pihak pembangkang.

Jelasnya, ia sekadar sesi mendengar permintaan dan tawaran mereka, malah tiada perbincangan mengenai ‘perjanjian’ pun. – MalaysiaGazette