KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh menafikan dakwaan bahawa bekalan barangan bersubsidi masih berkurangan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN), Fuziah menegaskan, data menunjukkan pengeluaran barang bersubsidi seperti gula dan minyak masak pada 2023 lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
“Pada 2022 pengeluaran gula ialah 437,290 metrik tan manakala pengedaran gula pula 430,713 metrik tan secara keseluruhannya. Pada 2023 pengeluaran 489,451 metrik tan pengedaran 471,241 metrik tan.
“Ini bermaksud pengeluaran barang bersubsidi lebih pada tahun 2023 berbanding 2022, tidak benar sebelum PRU-15 (pengeluaran lebih baik.
“Pengeluaran minyak masak paket subsidi pada tahun 2022 secara purata 55,000 metrik tan secara bulanan manakala pada 2023 maksimum pengeluaran 60,000 metrik tan lebih banyak berbanding 2022,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Membidas soalan Mas Ermieyati, beliau turut menegaskan, bekalan telur berada dalam keadaan kritikal sebelum PRU-15 iaitu semasa kerajaan terdahulu.
“Kena ingat pada Oktober 2022 bekalan telur langsung tidak ada dalam pasaran, beras 5 kg sebelum PRU-15 RM35, sekarang RM25. Jadi kena cakap berfakta,” tambah beliau.
Sementara itu Fuziah menjelaskan, beras tempatan kini di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Manakala beras tempatan, di bawah Akta Kawalselia Padi dan Beras [Akta 522]. Kalau orang mengadu tidak ada beras tempatan di pasaran pun kita tidak ada punca kuasa. KPDN tidak ada punca kuasa.
“Kita salurkan dan berkerjasama dengan KPKM dalam memastikan kita melihat dan meneliti aduan-aduan tersebut,” katanya lagi.-MalaysiaGazette