KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat akan meneliti penyata rasmi (hansard) berkenaan dakwaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkenaan dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menjadi ‘ejen pemujuk’ untuknya supaya menyokong kerajaan.
Tan Sri Johari Abdul menegaskan, selepas itu akan memutuskan tindakan selanjutnya sama ada mengheret Wan Saiful termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atau sebaliknya.
Beliau mengingatkan, hukuman yang dikenakan kali ini berat memandangkan amaran untuk tidak berpolitik dalam Dewan Rakyat telah beberapa kali disuarakannya.
“Ingat hukuman pada kali ini berat, pasti berat kerana saya sudah berkali-kali memberi amaran dan ingatan bahawa isu politik didebat, di pentas luar bukan di dewan Ini. Masa dalam dewan yang mulia ini hendaklah kita gunakan untuk bincang runding dan bahas isu negara dan rakyat.
“Apa pun juga kita ada mekanisme cukup jelas apa juga kpeutusan oleh jawatankuasa. Kita ada tiga hari lagi saya akan teliti saya telah menulis kepada Tasek Gelugor untuk dapatkan fakta-fakta lepas itu saya akan hubungi Tanjong Karang dan Gua Musang untuk tindakan selanjutnya.
“Kalau didapati bersalah YB dua ini akan dihadapkan juga ke jawatankuasa,” katanya.
Terdahulu, Zulkaperi mengemukakan usul agar Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan dakwaannya pada Khamis lalu.
Kemudian Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee bangun dan menganggap usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Tanjong Karang itu bersifat penafian dan pembelaan terhadap dirinya.
“Tasek Gelugor telah buat aduan rasmi dalam dewan. Apa yang perlu adalah menyiasat aduan Tasek Gelugor. Usul Tanjong Karang adalah merupakan susulan aduan Tasek Gelugor dan ia penafian atau pembelaan apa juga hujahan Tanjong Karang boleh dikumpul prosidig jika Parlimen buat keputusan tubuh jawatankuasa,” katanya.
Wan Saiful pada Khamis lalu mendedahkan Ahli Parlimen Tanjong Karang dan Gua Musang membuat tindakan berkenaan bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman dan Datuk Rahim.
Beliau mendakwa, antara tawaran yang dibuat adalah mengenai peruntukan Parlimen, peruntukan projek sehingga RM2 juta, bayaran untuk kos perubatan isterinya dan kos guaman untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah. – MalaysiaGazette