Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil . Foto FAREEZ FADZIL, 14 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menyarankan supaya Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ‘tutup mulut’ daripada mengulas draf peruntukan pembangkang jika tidak ada pengetahuan mengenai perkara tersebut.

Fahmi yang juga merupakan Menteri Komunikasi berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof juga telah menafikan kewujudan draf perjanjian seperti yang didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Saya tidak pasti sama ada Ahli Parlimen Machang cetak drafnya sendiri sebab sebelum ini, dia pernah kata nak selesaikan masalah ekonomi kita kena cetak wang.

“Saya semak dengan Pejabat Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Politik, tidak ada memberikan apa-apa draf dan meminta orang Setiausaha Politik juga saya hubungi. Setakat ini tidak ada.

“Jadi, saya percaya Ahli Parlimen Machang rasa terpanggil untuk menyelamatkan keadaan kerana yang disebut Ketua Pembangkang dalam Parlimen Khamis lalu ialah ada draf tapi Timbalan Perdana Menteri yang duduk bersama Ketua Pembangkang bila melaporkan kepada Kabinet, beliau mengatakan tidak ada sebarang draf dan perkara ini disahkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri jadi sekiranya ada draf wakil PM persoalannya kenapa tidak dibangkitkan ketika pertemuan bersama TPM?

“Jadi kalau Ahli Parlimen Machang tidak tahu apa-apa dia sebaiknya tutup mulut,” katanya ketika sidang media di Parlimen.

Terdahulu Wan Wan Ahmad Fayhsal menerusi aplikasi X mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi wakilnya telah menyerahkan dokumen perjanjian kepada Hamzah.

Tambahnya, tidak semua perkara perlu dimaklumkan Perdana Menteri kepada setiap orang di sekelilingnya.

Sementara itu, Fahmi menyarankan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu merujuk kepada saluran yang rasmi.

“Itulah saluran rasmi. Bagi saya bukan yang tidak rasmi kita rujuk yang rasmi,” ujarnya. – MalaysiaGazette