Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapatkan semula bayaran lebih RM16.78 juta bagi 104 unit ventilator yang tidak berfungsi.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tindakan tersebut selaras dengan syor ketiga Laporan PAC sebelum ini bahawa kementerian terbabit perlu menyemak waranti bagi semua ventilator dengan segera.

“Justeru, PAC mencadangkan supaya wang berkenaan diguna dan ditambah oleh MOF bagi memastikan ketersediaan peralatan ventilator di seluruh hospital Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pembentangan Laporan PAC Parlimen Terhadap Tindakan Susulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bagi Syor-Syor Laporan PAC Berhubung Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan Dan Lebihan Pakaian Pelindung Diri (PPE), di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Mas Ermieyati, jawatankuasa itu turut dimaklumkan bahawa KKM akan memastikan lebihan bekalan PPE digunakan sepenuhnya.

Sehubungan itu, PAC mahu KKM memastikan peralatan PPE seperti stok boot cover dan protective jumpsuit / coverall pada kadar optimal bagi persediaan berlaku wabak dan pandemik.

Pada 7 Mac lalu, Mas Ermieyati berkata, PAC mengadakan prosiding tindakan susulan KKM. – MalaysiaGazette