KEDATANGAN bulan Ramadan dipenuhi dengan keberkatan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Perkara ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW melalui sebuah hadis yang bermaksud: “Apabila menjelmanya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Menurut al-Qadhi ‘Iyadh bahawa hadis ini boleh ditafsir secara zahir dan secara hakikat iaitu pintu-pintu syurga memang dibuka dan pintu-pintu neraka memang ditutup. Manakala syaitan-syaitan dirantai sebagai tanda kemuliaan dengan masuknya bulan Ramadan.
Di samping itu, syaitan dirantai untuk menegah mereka daripada mengganggu dan memperdaya orang yang beriman. Selain itu, hadis ini boleh juga membawa maksud bahawa terbukanya pintu syurga kerana Allah SWT memudahkan hambaNya untuk melakukan pelbagai ketaatan dalam bulan Ramadan seperti puasa dan solat malam. Keadaan ini berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Pada bulan Ramadan, orang
Islam akan lebih sibuk melakukan kebaikan daripada melakukan maksiat. Inilah sebab mereka dapat memasuki syurga. Pintu neraka yang ditutup dan syaitan yang telah terbelenggu menjadikan seseorang lebih mudah menjauhi maksiat.
Bulan Ramadan juga menjanjikan rahmat dan keampunan daripada Allah. Hal ini dijelaskan melalui sebuah hadis yang bermaksud: ”Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaanNya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Keampunan daripada Allah adalah sesuatu yang istimewa untuk kita perolehi kerana ia menentukan untung nasib kita di akhirat kelak.
Walau bagaimanapun, keampunan yang bakal dinikmati hanya akan terjelma apabila puasa yang dilaksanakan dalam bulan Ramadan adalah dalam keadaan keimanan yang utuh dan penuh kesungguhan serta pengharapan kepada Yang Maha Esa. Kesemua ini memerlukan usaha dan perjuangan dalam mengekang hawa nafsu agar matlamat keampunan dan takwa kepada Allah dapat dicapai. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”.
Bulan Ramadan hadir untuk umat Islam keluar daripada rutin kebiasaan. Ia merupakan bulan perjuangan untuk mendidik hawa nafsu. Jika sebelum ini kita boleh makan dan minum di siang hari, tetapi dalam Ramadan kita diwajibkan berpuasa. Begitu juga amalan solat sunat tarawih yang dilaksanakan seusai solat Isyak hanya dalam bulan Ramadan. Secara tidak langsung, ia mengajar umat Islam untuk meningkatkan kualiti diri apabila terpaksa berhadapan dengan ujian kelaparan dan keletihan. Contohnya kualiti kesabaran dalam diri.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah memberikan nasihat melalui sebuah hadis yang bermaksud: “Jika salah seorang daripada kalian berpuasa, janganlah ia berkata keji dan bertengkar, dan jika ada orang mencelanya atau mengajak berkelahi hendaklah dia berkata: Sesungguhnya saya berpuasa”Riwayat Bukhari dan Muslim). Walaupun dia boleh membalas perbuatan tersebut, berpuasa mengajar dirinya untuk lebih bersabar
daripada bertengkar atau bergaduh.
Selain itu, kualiti stamina dan daya ketahanan dalam diri dapat dipupuk dalam bulan Ramadan. Ini kerana kita tetap perlu keluar bekerja mencari rezeki walaupun dalam keadaan sedang berpuasa. Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti fizikal yang lain yang memerlukan tenaga. Situasi seperti ini turut dirasai oleh Rasulullah SAW dan para sahabat apabila terpaksa berjihad di medan perang dalam bulan Ramadan seperti yang berlaku ketika Perang Badar Al-Kubra.
Bukan sekadar stamina sahaja, bahkan kesihatan diri dapat juga ditingkatkan dengan amalan berpuasa. Kajian menunjukkan puasa Ramadan mampu menurunkan kandungan glukosa dalam darah tanpa memudaratkan badan, mengawal kadar kolestrol serta menurunkan kandungan lemak. Ini adalah sebahagian daripada kualiti diri yang akan terhasil jika madrasah Ramadan dapat dilalui dengan penuh keimanan dan kesungguhan. Gunakanlah tempoh 30 hari di bulan Ramadan secara maksimum untuk meningkatkan amal ibadat agar kita tidak tergolong dalam golongan yang
mendapat kecelakaan di hari akhirat nanti.
Zaiton Din dan Dr Rozaini Othman
Pensyarah UiTM Cawangan Pulau Pinang